Berita Harian

Polis rampas syabu 500kg dalam kontena

-

Ipoh: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas dadah jenis syabu dianggarka­n seberat setengah tan dalam sebuah kontena yang ditahan di Hentian Taiping, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini kelmarin.

Kenderaan berat itu ditahan ketika melalui sekatan jalan di hentian itu dengan bantuan pasukan polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) pada jam 4 petang.

Menurut sumber, kontena itu dalam perjalanan menuju arah utara dan diekori sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman susulan dipercayai membawa muatan dadah jenis syabu.

“Pada jam 3.40 petang, Unit EMPV Zon Utara diminta bantuan untuk menahan sebuah lori kontena dan seterusnya membuat penutupan jalan di Kilometer 212, Hentian Taiping arah utara.

“Sebaik lori kontena itu ditahan, sepasukan pegawai dan anggota JSJN Bukit Aman kemudian menggeleda­h kontena berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, hasil pemeriksaa­n polis menemui beberapa kotak dalam kontena itu yang didapati mengandung­i dadah dipercayai syabu yang dianggarka­n seberat 500 kilogram.

“Kontena itu kemudian diiringi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman, ketika dihubungi mengesahka­n kes berkenaan namun memaklumka­n maklumat lanjut dan sidang media berhubung rampasan itu akan dibuat oleh pihak Bukit Aman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia