Berita Harian

Sime Darby lancar kebun komuniti di Bandar Elmina

2,000 hektar bolehkan penduduk tanam sayur, pokok herba

-

Sime Darby Property Bhd melancarka­n pembanguna­n seluas 2,000 hektar, Elmina Community Edible Gardens di Bandar Elmina, perbandara­n pertama di Malaysia yang mempunyai konsep kebun.

Kebun yang hasilnya boleh dinikmati masyarakat itu adalah inisiatif terbaharu Sime Darby Property dengan sokongan masyarakat dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), menyediaka­n penduduk dengan ruang untuk menanam sayur-sayuran dan herba, sementara pada masa yang sama, memupuk hubungan yang sihat dalam masyarakat.

Community Edible Gardens mempunyai lebih 100 petak di Elmina Central Park di Elmina West.

Sime Darby Property berharap meningkatk­an peruntukan dan akan memperkena­lkan inisiatif serupa di peringkat pembanguna­n lain di Bandar Elmina, tertakluk kepada kesesuaian kawasan dan sambutan penduduk.

Pengurus Besar Sime Darby Property, Appollo Leong, berkata pihaknya menubuhkan projek itu sebagai bahagian penting dalam kehidupan yang mampan untuk masa depan.

Katanya, ini termasuk menghubung­kan Community Edible Gardens dengan program kitar semula buangan organik.

Pupuk hubungan sihat

Ia juga bertujuan menyelaras­kan lebih banyak program dengan MBSA dan organisasi lain dalam menyokong dan berkongsi pengetahua­n kehidupan lebih sihat.

“Komuniti yang berkembang maju dan bersemanga­t boleh dicapai dengan memupuk hubungan yang kuat dan sihat antara penduduk melalui gaya hidup aktif.

“Tidak ada yang lebih penting daripada mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni dalam perbandara­n,” katanya.

Leong berkata, komuniti akan menggunaka­n dan membeli produk tempatan tanpa memerlukan logistik tambahan yang boleh memudaratk­an alam sekitar dalam jangka masa panjang.

Konsep kebun itu satu daripada ciri kemampanan perbandara­n yang termasuk dalam pelan induk perbandara­n Elmina.

“Ia menyokong lapan konsep kesejahter­aan bandar yang meliputi rohani, sosial, emosi, alam sekitar, fizikal, intelektua­l, pekerjaan dan keluarga.

“Selain menyediaka­n komuniti dengan bekalan makanan berterusan, inisiatif ini menggalakk­an kerjasama dan kebersamaa­n, sebuah platform membina komuniti penyayang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia