Berita Harian

Johor perkenal Rumah Mampu Biaya Kelas D

Kediaman berharga RM250,000 hingga RM300,000 untuk M40

- Oleh Ibrahim Isa

Rumah Mampu Biaya kelas D berharga RM250,000 hingga RM300,000 akan diperkenal­kan kepada kumpulan isi rumah berpendapa­tan sederhana (M40) tahun ini dalam usaha kerajaan negeri membantu rakyat mempunyai kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankua­sa Perumahan dan Pembanguna­n Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad, berkata rumah kategori itu sudah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan dan pembinaan akan mengikut zon membabitka­n kediaman strata dan bertanah.

“Rumah Mampu Biaya D ialah kategori baharu khusus untuk M40 berpendapa­tan isi rumah antara RM8,000 hingga RM10,000. Rumah jenis ini kalau di Zon A, iaitu Johor Bahru hingga Kulai, harga jualan ialah RM300,000.

“Tetapi jika di Zon B membabitka­n Batu Pahat, Muar, Se- gamat dan Kluang, harga jualan RM250,000. Bagaimanap­un, kami tidak menawarkan rumah ini di Zon C merangkumi Tangkak, Pontian, Mersing dan Kota Tinggi kerana harga yang ditawarkan mungkin sama atau lebih tinggi dari harga pasaran,” katanya pada sidang media selepas menyempurn­akan Majlis Penyampaia­n Amanat 2019 di Kota Iskandar, di sini, semalam.

Majlis disertai kira-kira 400 kakitangan Bahagian Perumahan dan Pembanguna­n Luar Bandar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.

Dzulkefly berkata, Rumah Mampu Biaya D hanya dibenarkan dibina secara berstrata di Zon A iaitu di bandar raya Johor Bahru hingga ke Pulai, manakala di kawasan lain perumahan jenis bertanah.

Komposisi binaan dikekal

“Bagaimanap­un, komposisi pembinaann­ya masih dikekalkan, iaitu 10 peratus daripada 40 peratus. Ini bermakna kalau Zon A, kita bakal miliki empat harga iaitu RM42,000; RM80,000; RM150,000 dan RM300,000.

“Untuk Zon B, RM42,000, RM80,000, RM150,000 dan RM250,000, manakala Zon C hanya ada harga RM42,000, RM80,000 dan RM150,000.

“Penetapan zon ini berdasarka­n tiga faktor, iaitu pendapatan isi rumah setiap daerah, proses urbanisasi atau perbandara­n serta senarai nama menunggu mengikut laman web erumah,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya mempunyai hampir 85,000 senarai menunggu dengan 70 peratus daripadany­a adalah pemohon dari Zon A.

Katanya, ini bermakna permintaan selebihnya atau 30 peratus dari daerah lain dan permintaan tinggi dari Johor Bahru dan Kulai berikutan harga rumah serta kos sara hidup yang lebih tinggi.

“Berikutan itu, kami berharap kewujudan Rumah Mampu Biaya D ini dapat membantu golongan itu membeli rumah sendiri kerana selama ini, mereka berdepan masalah membeli rumah apabila harga ditawarkan terlalu tinggi,” katanya.

 ?? [FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM/BH] ?? Dzulkefly (empat dari kiri) pada pelancaran ‘Satu Keluarga Satu Kediaman’ selepas menyempurn­akan Majlis Penyampaia­n Amanat 2019 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, semalam.
[FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM/BH] Dzulkefly (empat dari kiri) pada pelancaran ‘Satu Keluarga Satu Kediaman’ selepas menyempurn­akan Majlis Penyampaia­n Amanat 2019 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia