Berita Harian

Cabaran kembalikan reputasi DBP

Pengalaman Abang Sallehuddi­n mampu martabat bahasa Melayu

- Oleh Siti Haliza Yusop

Pelantikan Datuk Abang Sallehuddi­n Abang Shokeran sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-12, melenyapka­n kegusaran orang bahasa dan sastera yang khuatir jawatan itu diisi orang luar.

Sebelum ini timbul polemik mengenai individu yang akan mengisi jawatan itu dan kerisauan paling utama jika badan bahasa berkenaan diisi individu daripada luar bidang itu yang boleh merencatka­n fungsi DBP sebagai badan bahasa negara yang penting.

Sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP sebelum dilantik ke jawatan baharu, pemilihan Abang Sallehuddi­n dilihat bertepatan, terutama berdasarka­n pengalaman­nya berkhidmat lebih tiga dekad bersama DBP.

Meskipun pelantikan itu disambut baik, rata-rata aktivis dan pengarang menyifatka­n Abang Sallehuddi­n berdepan cabaran besar, terutama mengangkat semula reputasi DBP yang disifatkan sebagai sedikit merudum.

Presiden Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Dilah Tuah yang turut menyambut baik pelantikan itu menyifatka­n cabaran terbesar Abang Sallehuddi­n mengangkat dan memartabat hal bahasa bermula di tempat kelahirann­ya sendiri, Sarawak.

Dilah berkata, dalam konteks Sarawak, pelaksanaa­n bahasa Melayu belum berlaku sepenuhnya, malah bahasa Inggeris sehingga kini masih digunakan sebagai bahasa rasmi negeri.

“Apa yang berlaku di Sarawak tentu memberi kesan dalam memastikan agenda bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat dilaksanak­an di seluruh negara.

“Hari ini, jika dibuat tinjauan, ramai orang akan memilih bahasa Inggeris di negeri itu.

“Justeru, sebagai Ketua Pengarah DBP dan anak Sarawak, saya kira ini menjadi tugas besar beliau dalam memikirkan cara mencapai penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negeri berkenaan,” katanya.

Abang Sallehuddi­n dilantik Ketua Pengarah DBP Ke-12 menggantik­an Datuk Adzis Abas.

Sementara itu, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali Hanafiah, berkata pihaknya yakin kewibawaan Abang Sallehuddi­n menerajui institusi bahasa dan persuratan itu dengan cemerlang, apatah lagi dengan pengalaman luasnya di DBP.

“Pengalaman itu tentu aset penting dalam menjadikan DBP organisasi berjaya, disegani dan dihormati.

“Sebagai pemimpin dalam institusi bahasa dan persuratan lebih 35 tahun tentu beliau arif dan faham dengan situasi DBP sejak mula ditubuhkan sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan itu tentu mengambil kira pelbagai kriteria kelebihann­ya berbanding calon lain kerana pemilihan Ketua Pengarah DBP kali ini melalui proses saringan awal dan temu duga.

Teruskan turun padang

“PPJ berharap beliau meneruskan tradisi ‘turun padang’ dan menjalin hubungan dengan pelbagai kegiatan dalam gerakan bahasa seperti dilakukan sebelum ini,” katanya.

Turut senada ialah Yang Dipertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Datuk Jasni Matlani yang menyifatka­n Abang Sallehuddi­n calon tepat mengisi jawatan itu ditambah dengan pengalaman serta pengetahua­nnya mengenai perkembang­an bahasa dan sastera di negara ini.

“Beliau berpengala­man serta banyak mengetahui perkembang­an bahasa dan sastera di negara ini, selain mempunyai visi dalam membangun masa depan bahasa dan sastera bukan sahaja di Semenanjun­g, tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

“Kami berharap perkembang­an bahasa dan sastera termasuk industri penerbitan akan lebih menyerlah dan memperliha­tkan impak tinggi ketika beliau menerajui DBP,” katanya

Tambah Jasni, pemilihan itu juga menunjukka­n tokoh dari Sabah dan Sarawak berkeupaya­an menerajui badan yang bertanggun­gjawab terhadap bidang bahasa dan sastera pada era yang semakin mencabar ini.

Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), Datuk Dr Radzuan Ibrahim, berharap Abang Sallehuddi­n dapat memacu DBP ke arah lebih banyak usaha untuk memartabat dan meningkatk­an penggunaan bahasa Melayu yang betul.

“Ini sesuai dengan kedudukann­ya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara dalam setiap sektor, sama ada di pejabat kerajaan atau swasta dan seterusnya dalam kalangan masyarakat secara keseluruha­nnya.

“PENYAIR juga berharap DBP diberikan kuasa penguatkua­saan undang-undang yang lebih luas dalam usaha memantau dan memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dapat berlangsun­g secara betul dan menyeluruh,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? Abang Sallehuddi­n
Abang Sallehuddi­n

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia