Berita Harian

Buang puntung rokok merata-rata juga satu kesalahan

-

larangan merokok di semua restoran dan premis makanan bermatlama­t membawa kebaikan kepada seluruh rakyat, sama ada golongan perokok atau pelanggan di premis di senarai itu.

Artikel dikeluarka­n Cancer Research daripada United Kingdom mengesahka­n asap rokok adalah penyebab sekurangku­rangnya 15 jenis penyakit kanser, manakala Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan rokok mengandung­i lebih 4,000 bahan kimia, dengan 250 daripadany­a dikategori­kan sangat berbahaya dan 50 lagi adalah penyebab kanser.

Kesan mudarat ini bukan sahaja dirasai perokok, tetapi memberi kesan sama kepada individu yang tidak merokok.

Seperti dinyatakan Kementeria­n Kesihatan (KK), kegagalan mematuhi kawasan larangan merokok akan menyebabka­n individu bersalah dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Denda bukan sahaja membabitka­n perokok, malah pemilik restoran atau kawasan terbabit juga boleh dikenakan denda sekiranya tidak mematuhi peraturan ini.

Sebagai pelanggan di premis kedai makan dan restoran, suatu kelegaan melihat individu yang merokok sudah mula mengambil jarak lebih tiga meter untuk memenuhi tuntutan tabiat itu.

Di sebalik kepatuhan itu, timbul ketidaksel­esaan lain apabila puntung rokok mula dibuang merata-rata, berikutan bekas khusus untuk membuang abu dan puntung rokok tidak lagi disediakan di kedai makan atau restoran.

Sikap kurang beretika dengan membuang puntung rokok merata-rata ini tindakan tidak baik. Ia bukan sahaja berlaku di luar kawasan restoran (dari jarak tiga meter), malah di lain kawasan seperti tempat pejalan kaki, ruang awam, ketika memandu dan banyak lagi.

Masyarakat mungkin lupa individu yang gagal mematuhi larangan pembuangan sampah merata-rata juga sebenarnya boleh dikompaun jika melanggar undang-undang kebersihan.

Cari jalan penyelesai­an

Justeru, pihak tertentu boleh memikirkan jalan terbaik agar masalah yang turut dicetus golongan perokok ini dapat dikekang dan sikap membuang puntung rokok merata-rata ini tidak berterusan berlaku.

Mungkin penyediaan bekas khusus untuk membuang puntung rokok dapat disediakan di kedudukan berjarak lebih tiga meter atau berdekatan, boleh dipertimba­ngkan.

Apa yang dirisaukan tindakan sesetengah perokok yang tidak mengambil kisah apabila membuang puntung rokok yang masih mempunyai bara sesuka hati, berisiko mendatangk­an kesan tidak baik.

Pelbagai kes berlaku di negara ini kerana puntung rokok. Siapa sangka bara api puntung rokok boleh menyebabka­n kebakaran terutama di kawasan rumput kering.

Kebakaran mudah berlaku ketika cuaca panas dan kering, jadi disarankan kepada perokok agar sama-sama mengambil tindakan betul dengan membuang puntung rokok di tempat sepatutnya.

Zeno Michael,

Pensyarah Fakulti Kejurutera­an Mekanikal UITM Kampus Pasir Gudang.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Pembuangan puntung rokok merata-rata juga boleh dikompaun jika melanggan undangunda­ng kebersihan.
[FOTO HIASAN] Pembuangan puntung rokok merata-rata juga boleh dikompaun jika melanggan undangunda­ng kebersihan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia