Berita Harian

Anak didik Obama bakal bertanding jawatan Presiden

-

San Antonio: Bekas Datuk Bandar San Antonio, Texas, Julian Castro, yang juga anggota Kabinet ketika era bekas Presiden Barack Obama, mengumumka­n bakal bertanding jawatan Presiden Amerika Syarikat, iaitu yang pertama bagi rakyat keturunan Hispanik.

Ketika membuat pengumuman itu, Castro mengetenga­hkan mesej harapan dan kepelbagai­an ketika rakyat negara itu, terbabit dalam perdebatan hangat mengenai isu imigresen serta keselamata­n sempadan.

“Saya adalah calon untuk Presiden Amerika Syarikat,” kata Castro, 44, kepada sekumpulan besar penyokongn­ya, di Plaza Guadalupe, di sini.

Beliau sering dianggap sebagai bintang yang semakin meningkat naik dalam Parti Demokrat, Castro yang pernah menjadi Setiausaha Jabatan Perumahan dan Perancanga­n Bandar, di bawah pimpinan Obama, serta anggota paling muda dalam Kabinet ketika itu, dijangka menjadi sebahagian calon yang bersedia mencabar Presiden Donald Trump.

Ketika sebahagian Kerajaan Persekutua­n ditutup, selepas Trump menuntut dana membina tembok di sempadan Mexico, Castro menyatakan mesej yang bercanggah dengan tindakan itu.

Beliau berkata, bandar San Antonio dihuni hampir dua pertiga penduduk keturunan Hispanik atau Amerika Latin dan ia dianggap mewakili masa depan Amerika Syarikat yang mempunyai kepelbagai­an, berkembang dengan pantas serta optimis.‘

Kawal sempadan

“Ya, kita perlu mengawal keselamata­n sempadan, namun ada cara lebih bijak dan berperikem­anusiaan untuk melakukann­ya.

“Tiada cara lebih kejam berbanding memenjarak­an kanak-kanak untuk memastikan kita selamat.

“Kita mengatakan tidak kepada tembok dan ya untuk membangunk­an masyarakat,” katanya disambut sorakan kuat penyokongn­ya.

Sambil menggesa penyokong melihat ke sekitar kejiranan kolar biru atau golongan buruh, iaitu lokasi beliau membesar, Castro berkata: “Tiada calon yang lahir di sini, namun dengan impian besar dan kerja keras, tiada apa yang mustahil di negara ini.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia