Berita Harian

Ibu bapa perlu teruskan penempatan anak di asrama

-

Betong: Ibu bapa di kawasan pedalaman dan luar bandar harus meneruskan amalan menempatka­n anak mereka di asrama sekolah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata amalan itu memberi mereka lebih banyak faedah dan keistimewa­an.

Katanya, manfaat utama adalah suasana pembelajar­an yang lebih kondusif, terutama pada waktu petang berbanding tinggal di rumah panjang.

“Apabila tinggal di asrama, mereka diajar disiplin dan pengurusan masa yang sesuai, akan ada masa untuk mereka belajar, berehat dan mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah.

“Ada guru menyediaka­n kelas tambahan kepada mereka bagi memperbaik­i mata pelajaran yang lemah dan mereka juga berpeluang menggunaka­n perpustaka­an dan makmal komputer,” katanya.

Ramai tinggal di rumah

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Muhibah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Gayau di Debak, di sini semalam.

Uggah berkata, berdasarka­n pemerhatia­nnya, ramai pelajar kini cenderung tinggal di rumah panjang berbanding asrama sekolah.

Katanya, ramai penduduk rumah panjang kini menikmati jalan yang lebih baik dan mempunyai kereta untuk menghantar dan mengambil anak di sekolah setiap hari.

Pada masa sama, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa memeriksa prestasi pembelajar­an anak dengan guru.

“Ini bahagian penting dalam proses pendidikan. Ibu bapa mesti mengetahui kemajuan anak mereka,” katanya.

Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Pembanguna­n Tanah Adat dan Wilayah turut mengumumka­n sumbangan RM100,000 untuk dana pembanguna­n sekolah dan satu lagi geran sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanga Gayau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia