Berita Harian

‘Impian jadi menteri pembakar semangat’

-

Serdang: Dr Maszlee Malik berkata impiannya untuk menyandang jawatan sebagai Menteri Pendidikan sejak 30 tahun lalu menjadi pembakar semangat kejayaanny­a hingga kini.

Mengimbau sorotan kerjaya dan mengharung­i pelbagai cabaran, Maszlee dalam nada sebak berkata, cita-cita menggalas portfolio kanan dalam kerajaan itu disemai sejak di bangku sekolah, ketika berusia 15 tahun.

Beliau yang dilihat sesekali terhenti daripada meneruskan ucapan, menjelaska­n jawatan itu menjadi dambaan kerana ingin merealisas­ikan harapan untuk membina Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.

Bawa pendekatan berbeza

“Guru yang meledakkan harapan dan cita-cita saya ketika berusia 15 tahun hanya seorang pendidik biasa di sebuah sekolah, namun fenomena sebenar ialah beliau tidak pernah lulus peperiksaa­n.

“Beliau hanya mula bersekolah semula pada umur 18 tahun dengan mengambil peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), kemudianny­a melanjutka­n pengajian ke Universiti Malaya (UM) serta berjaya menjadi seorang guru.

“Ustaz Sakijan Muri sering bawa pendekatan berbeza dalam melihat perkara seharian, hatta dalam menggalakk­an murid untuk selalu bertanya termasuk membabitka­n perihal agama.

“Ustaz adalah insan pertama yang mengajarka­n KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) kepada saya, jauh sebelum istilah ini diwujudkan,” katanya ketika menyampaik­an amanat pendidikan, di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

‘Jentik’ pemikiran kritikal

Gagal menahan sebak, Maszlee yang meneruskan ucapan dengan linangan air mata mengambil kesempatan untuk menzahirka­n penghargaa­n kepada Sakijan selepas pendidik berkenaan menyuntik kesedaran kepadanya sejak usia muda.

Maszlee berkata, gurunya ‘menjentik’ pemikiran kritikal untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai proses pembinaan manusia berdaya saing dalam kehidupan tanpa tercabut sifat manusiawi.

“Terima kasih untuk segalanya ustaz,” katanya sambil mendepakan kedua-dua tangan ke arah Sakijan yang berdiri di barisan hadapan tetamu undangan, diiringi tepukan gemuruh hadirin di Dewan Besar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

 ?? [ FOTO ROSELA ISMAIL / BH ] ?? Maszlee bersama Sakijan pada majlis amanat pendidikan, di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.
[ FOTO ROSELA ISMAIL / BH ] Maszlee bersama Sakijan pada majlis amanat pendidikan, di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia