Berita Harian

Peneroka desak selesai kos sara hidup

-

Lipis: Kerajaan diminta melihat dan memberi tumpuan kepada masalah sebenar membelengg­u peneroka FELDA, iaitu kos sara hidup tinggi serta harga sawit yang masih belum stabil.

Peneroka FELDA Sungai Koyan 3, Mustapa Ahmad, 66, ketika ditemui, berkata realiti dihadapi kebanyakan peneroka rancangan tanah itu ketika ini berbeza dengan berita yang dipaparkan media.

“Kos sara hidup tinggi bukanlah benda yang sengaja kita reka, ini adalah kenyataan dan (kerajaan) kenalah terima serta cari jalan untuk atasi. Selain itu, kadar (harga) komoditi (sawit) juga masih belum stabil, ini pun perlu diutamakan,” katanya.

Katanya, peneroka menyambut baik kunjungan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali ke FELDA Sungai Koyan, Jumaat lalu serta pengumuman kerajaan akan memperkena­lkan Skim Bantuan Pendidikan khusus untuk generasi muda FELDA.

Azmin yang hadir pada Majlis Ramah Mesra di kawasan berkenaan dilaporkan berkata, kerajaan juga sedang mencari jalan dan kaedah bersesuaia­n untuk membantu peneroka FELDA.

“Kita bukan tidak setuju cadangan kerajaan nak perkenalka­n skim untuk bantu golongan muda FELDA, tapi sepatutnya kerajaan tengoklah dulu apa isu sebenar yang sedang kami hadapi,” kata Mustapa.

Beliau yang sudah menjadi peneroka FELDA kira-kira 40 tahun, berkata kebanyakan peneroka kini perlu membuat kerja tambahan bagi mencari pendapatan sampingan berikutan kos sara hidup yang tinggi.

Tanggapan salah

Katanya, tanggapan bahawa peneroka FELDA hidup mewah dan malas adalah sangat tidak sensitif serta tidak berasas.

“Kalau tengok tapak tangan saya, tahulah bagaimana saya bekerja mencari pendapatan untuk menampung keluarga. Dengan 15 anak, mana cukup dengan pendapatan (sawit) sahaja pada masa ini.

“Mana-mana kerajaan sama sahaja. Kami terpaksa bertungkus lumus menyara kehidupan, selepas Subuh sudah keluar buat pelbagai kerja sehinggaka­n Tok Empat (ketua kampung) datang rumah. Beliau ingat saya sakit sebab sudah lama kami tidak bertembung di pekan Sungai Koyan,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Khamis Maasai, 72, berkata, FELDA yang dicetuskan Allahyarha­m Tun Abdul Razak Husein sebenarnya sudah banyak membantu peneroka, termasuk memberikan masa depan kepada generasi pertama yang mengusahak­an kebun sawit di tanah rancangan itu.

“Kebanyakan kami (peneroka) bukanlah orang senang, tanah sendiri pun tidak ada. Kalau (Allahyarha­m) Tun Abdul Razak tidak menubuhkan FELDA, mungkin sampai sekarang kami tidak mampu beli tanah sendiri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia