Berita Harian

Sindiket seludup dadah dalam penjara tumpas

Kegiatan terbongkar susulan lima suspek ditahan dua serbuan di Johor

- Oleh Fazrik Kamarudin

Polis menumpaska­n satu sindiket pengedaran dadah yang disyaki menyeludup masuk bahan terlarang itu untuk kegunaan tahanan di Penjara Simpang Renggam, Johor, apabila menahan lima individu dalam dua serbuan di sekitar negeri itu, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata lima individu dipercayai ahli sindiket itu diberkas susulan penahanan empat suspek, tahun lalu, yang disyaki menggunaka­n tahanan untuk menyeludup pelbagai jenis dadah ke dalam penjara.

“Hasil operasi bermula jam 7 malam hingga 11 malam Sabtu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Johor menahan lima orang berusia 26 hingga 30 tahun.

Dadah bernilai RM814,000.

“Jumlah dadah dirampas ialah 9.88 kilogram (kg) dadah disyaki syabu, 16.4kg dadah disyaki heroin dan 940 biji pil ekstasi yang keseluruha­nnya bernilai RM814,000.

“Dua kenderaan jenis Honda Jazz dan Proton Persona, tiga motosikal, pelbagai jenis barang kemas serta wang tunai berjumlah RM22,000 turut disita,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, semalam.

Beliau berkata, kelima-lima suspek terbabit direman tujuh hari hingga 19 Januari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kami masih menjalanka­n siasatan lanjut berkenaan kes ini. Siasatan turut mendapat kerjasama penuh daripada Jabatan Penjara Malaysia bagi mengesan jika ada orang dalam yang terbabit.

“Siasatan juga dilakukan bagi mengenal pasti modus operandi sebenar digunakan untuk membawa masuk dadah ke penjara,” katanya.

Sementara itu berhubung kes lain pula, Mohamad Fuzi berkata, sebahagian daripada 569.5kg dadah disyaki syabu di dalam sebuah lori kontena yang dirampas polis, Sabtu lalu, dipercayai diseludup ke luar negara.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori kontena itu dipercayai dalam perjalanan ke Pelabuhan Pulau Pinang ketika ditahan JSJN Bukit Aman.

Beliau berkata, susulan itu, polis menahan tiga individu disyaki ahli sindiket terbabit yang kini direman tujuh hari hingga 19 Januari ini bagi membantu siasatan.

Pemandu lori kontena

“Tangkapan pertama membabitka­n seorang lelaki berusia 40 tahun di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Taiping yang juga pemandu lori kontena berkenaan, dan dadah disyaki syabu seberat 569.5kg dirampas.

“Dalam serbuan berasingan, kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 49 tahun di sebuah premis di Ipoh, manakala individu ketiga lelaki berumur 39 tahun ditahan di Plaza Tol Bidor.

“Hasil ketiga-tiga serbuan, kita turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori dan wang tunai berjumlah RM1,768,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, JSJN Bukit Aman menjalanka­n siasatan lanjut mengenai kes itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, termasuk mengenal pasti dari mana dadah berkenaan diperoleh.

 ?? [FOTO SAIRIEN NAFIS /BH] ?? Mohamad Fuzi pada sidang media rampasan dadah dalam operasi di Perak dan Johor di Bukit Aman, semalam.
[FOTO SAIRIEN NAFIS /BH] Mohamad Fuzi pada sidang media rampasan dadah dalam operasi di Perak dan Johor di Bukit Aman, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia