Berita Harian

Masih ada PKS tidak tahu wujud pembiayaan Islam

-

Kira-kira 60 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) didapati tidak mengetahui adanya kemudahan pembiayaan perniagaan patuh syariah, dengan majoriti masih menggunaka­n pembiayaan konvension­al.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata segelintir pihak mungkin mempunyai tanggapan bahawa kewangan Islam hanya untuk komuniti Islam.

“Hari ini, kami berharap dapat memperbetu­lkan persepsi ini dan mewujudkan lebih banyak kesedaran mengenai apa yang ditawarkan oleh kewangan Islam,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Islamic Finance Rendezvous Series di Bayan Lepas, Pulau Pinang, semalam.

Adnan Zaylani berkata, kewangan Islam telah berkembang daripada pasaran khusus ke pasaran lebih meluas dengan aset perbankan Islam berjumlah RM874 bilion atau 30.4 peratus daripada jumlah aset perbankan pada akhir September tahun lalu dengan pertumbuha­n tahunan sebanyak 10 peratus dalam tempoh tiga dekad.

Katanya, hujung tahun ketiga tahun lalu juga menyaksika­n sumbangan takaful berjumlah RM1.7 bilion dengan penembusan pasaran pada 15 peratus.

Asas yang teguh

“Pertumbuha­n kewangan Islam di Malaysia berdaya tahan dan menyokong perkembang­an sosial dan ekonomi. Apa yang mendasari pertumbuha­n ini adalah asas yang teguh, yang dibawakan oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia, bersama-sama dengan industri, dalam pembanguna­n infrastruk­tur, bangunan institusi, rangka kerja pengawalan yang kukuh dan pembanguna­n produk.

“Kami kini berada di tahap di mana kita melihat bahawa asas-asas adalah kukuh dan industri bersedia untuk menawarkan penyelesai­an bagi memenuhi keperluan pelanggann­ya,” katanya.

Katanya, antara produk kewangan Islam yang ditawarkan kepada PKS adalah pembiayaan rantaian bekalan, yang membolehka­n perniagaan terutamany­a PKS, memanfaatk­an kelayakan kredit pembekal atau pembeli utama untuk mendapatka­n pembiayaan pada kadar lebih murah.

“Antara lain adalah perlindung­an produk takaful pada harga yang kompetitif, Platform Akaun Pelaburan (IAP) dan sukuk sebagai alternatif untuk pembiayaan perniagaan,” katanya.

Adnan Zaylani berkata, pada peringkat kebangsaan, kerajaan menyokong peranan kewangan Islam sebagai alat penting untuk membantu ekosistem PKS berkembang maju yang mana kerajaan mewujudkan Skim Pembiayaan Terhad Syariah PKS bernilai RM1 bilion.

“PKS berpeluang menikmati kos pembiayaan yang lebih rendah dengan skim ini di mana penguranga­n dua peratus kadar pembiayaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia