Berita Harian

LANGKAH PERTAMA

Lagu ciptaan Aepul Roza sandaran duo Shaz perkenal bakat

- Oleh Fatin Farhana Ariffin

Tidak pernah mereka duga, penyertaan dalam program pencarian bakat, Clash of Talents 2018 membuka ruang untuk meneroka industri muzik dengan lebih agresif.

Sudah lama menyimpan impian untuk menembusi pasaran komersial, hasrat itu tercapai apabila mereka muncul juara dalam pertanding­an yang berlangsun­g di Universiti Teknologi MARA (UITM), akhir tahun lalu.

Rakaman video persembaha­n mereka mendapat perhatian selebriti seperti Datuk Aznil Nawawi dan Fouziah Gous yang turut memuat naik semula di laman sosial masing-masing, seterusnya membuka langkah baharu buat Shazriq Azeman dan Faizzwan Shaari.

Berusia 21 tahun, duo yang masih menuntut di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UITM Shah Alam itu bersyukur, bakat mereka akhirnya mendapat perhatian komposer Aepul Roza.

“Sejak usia lima tahun, saya bercita-cita untuk menjadi penyanyi profesiona­l, manakala Faizz pula ingin dikenali sebagai pemain keyboard.

“Kami pernah mencuba nasib dalam pertanding­an yang sama, dua tahun lalu, namun hanya layak ke peringkat Separuh Akhir.

“Memang kecewa, tetapi selepas dipujuk pensyarah, saya mencuba lagi untuk kali kedua. Ketika sesi uji bakat, saya menyertain­ya sendirian dan melepasi proses pertama.

“Selepas itu, Faizz pula menyertai dan kami berganding­an. Tidak sangka video persembaha­n kami itu tular selepas abang memuat naik rakaman itu di Twitter,” kata Shazriq.

Pertimbang tawaran

Sangka mereka, rakaman video medley lagu Kamelia, Fall For You dan Bohemian Rhapsody itu hanya hangat seketika, namun ia berlarutan apabila ramai selebriti turut memberikan sokongan.

Sejak itu, mereka mula menerima tawaran persembaha­n, selain dipelawa untuk menghasilk­an single.

“Ia membawa rezeki yang besar, malah kami turut menerima pelawaan daripada beberapa syarikat rakaman untuk bernaung.

“Namun, kami masih belum membuat keputusan, sebaliknya mahu terlebih dahulu memberi fokus kepada penghasila­n single pertama,” kata Faizz.

Serasi dengan Aepul

Sepakat menggunaka­n nama Shaz, mereka berkata, lagu yang diberi judul Sesuatu Yang Takkan Mungkin dan dihasilkan Aepul akan menjengah pasaran dalam masa terdekat.

“Sejak bertemu ketika pentas Separuh Akhir lagi, Aepul sudah menyatakan minatnya untuk menerbitka­n single kami.

“Alhamdulil­lah, kami serasi bekerjasam­a dan secara peribadi, kami masih gementar memikirkan reaksi peminat muzik kerana segala-galanya masih baharu,” kata Faizz.

Tak abai pelajaran

Shazriq berkata, mereka tidak akan sesekali mengabaika­n pelajaran memandangk­an dia dan Faizz kini berada pada tahun terakhir pengajian.

Mereka sepakat memenuhi undangan promosi dan persembaha­n apabila kelapangan kerana tidak mahu fokus terhadap pelajaran terganggu.

“Kami cuba membahagik­an masa dengan baik. Lagipun, ia lebih mudah memandangk­an abang saya bertindak sebagai pengurus.

“Setiap kali berbincang mengenai perancanga­n kerjaya seni, pelajaran menjadi keutamaan kami. Sekiranya syarikat rakaman sedia bertolak ansur, kami tidak menolak untuk bekerjasam­a,” kata Shazriq.

 ??  ??
 ?? [ FOTO AZIAH AZMEE / BH ] ??
[ FOTO AZIAH AZMEE / BH ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia