Berita Harian

Enam negara sahkan penyertaan

- Oleh Farah Suhaidah Othman

Ipoh: Enam negara mengesahka­n tempat untuk menyertai kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini pada 23 hingga 30 Mac ini.

Pengerusi Jawatankua­sa Pengelola Kejohanan, Datuk Abd Rahim Mohd Ariff, berkata negara yang sudah mengesahka­n penyertaan ialah India, Kanada, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Jepun selain tuan rumah, Malaysia.

Katanya, pada kejohanan kali ini, Australia tidak dapat beraksi berikutan terbabit dalam Liga Profesiona­l edisi pertama dilancarka­n Persekutua­n Hoki Antarabang­sa (FIH) bermula Januari hingga Jun ini.

“Pasukan utama dari Eropah seperti Britain dan Belgium serta New Zealand terbabit dalam Pro Liga (Liga Profesiona­l), namun kita dapat pengesahan tempat dari pasukan ranking kelima dunia iaitu India,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini, semalam.

Peluang cerah

Abd Rahim berkata, skuad negara mempunyai peluang cerah meraih gelaran juara buat kali pertama sejak kejohanan dipertandi­ngkan pada 1983 berikutan ketiadaan pasukan elit dunia seperti Australia, New Zealand, Belgium dan Pakistan.

“Jika dilihat ranking pasukan lain, nampaknya pencabar kita adalah India, namun kita tidak boleh mengetepik­an Jepun sebagai juara hoki dalam Sukan Asia (tahun lalu).

“Bagaimanap­un, peluang untuk Malaysia ke perlawanan akhir amatlah cerah,” katanya.

Abdul Rahim berkata, kejohanan edisi kali ini adalah pentas pasukan negara menebus kehampaan ketika tumpas kepada Jepun dalam perlawanan akhir Sukan Asia di Jakarta-palembang, tahun lalu.

“Rakyat Malaysia pasti mahu melihat semula perlawanan ulangan antara Malaysia dan Jepun kerana kita agak terkilan dengan cara kekalahan pasukan Speedy Tigers di tangan Jepun, dan kita harap ia mampu ditebus,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia