Berita Harian

2 lelaki didakwa halang penjawat awam, rosakkan kenderaan

-

Petaling Jaya: Dua lelaki didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menghalang penjawat awam, melakukan rusuhan dan merosakkan kenderaan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, dekat sini pada November lalu.

Di hadapan Majistret Nurshahira­h Abdul Salim, pemandu lori, M Chandran, 32, didakwa bersama dua individu yang sudah dituduh dan beberapa lagi yang masih bebas, menghalang Inspektor Mohd Nazmi Zulkafli, Sarjan Mohamad Faiz Abdul Rahim dan Koperal Ahmad Zamran Mat daripada menjalanka­n tugas dan fungsi jawatan mereka.

Halang laluan kereta peronda polis

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersama 50 orang yang sudah dituduh dan beberapa lagi yang masih bebas, sebagai ahli satu kumpulan yang menyalahi undang-undang untuk menghalang laluan kereta peronda polis keluar dari kawasan kuil dengan menggunaka­n kekerasan.

Chandran dituduh mengikut Seksyen 186 dan 147 Kanun Keseksaan yang masingmasi­ng membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Lelaki berkenaan bagaimanap­un mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di laluan hadapan kuil terbabit pada jam 1.30 petang, 26 November lalu.

Rosakkan kenderaan di kuil

Seorang lagi lelaki, A Janagan, 33, didakwa di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir atas tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kenderaan di kuil sama, pada jam 4.30 pagi, 25 November lalu.

Penganggur berkenaan dituduh bersama beberapa orang lagi yang masih bebas, merosakkan kenderaan pacuan empat roda, Nissan Navara dengan nombor pendaftara­n WVS 3776, milik syarikat Modular Constructi­on Technician.

Dia turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu yang memperuntu­kkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Chandran dibenar ikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan, manakala Janagan dibenar ikat jamin RM2,500 serta syarat tambahan melapor diri dua kali sebulan di balai polis berhampira­n.

Mahkamah menetapkan 15 Februari ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan kes dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee dan Nor Baizura Mohd Saubian, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, R Balamurali.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia