Berita Harian

‘TH bukan untuk dapatkan hibah tinggi’

Penyimpan diminta tak keluarkan deposit jika rugi

- Oleh Saadiah Ismail saadiah_ismail@bh.com.my

Penyimpan perlu sedar tujuan utama deposit wang dalam Lembaga Tabung Haji (TH) adalah untuk melaksanak­an ibadah haji, bukan semata-mata mahu mendapatka­n hibah tinggi.

Pengurus Pembanguna­n Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengurusan haji adalah tugas utama TH yang dikenali dan mendapat pujian seluruh dunia.

“Jangan keluarkan deposit jika TH alami kerugian kerana ini adalah satu-satunya institusi agama Islam yang boleh dibanggaka­n dan menjadi rujukan seluruh dunia.

“Seeloknya beberapa syarat tambahan diletakkan bagi pendeposit untuk pastikan TH tidak terjejas oleh tindakan mereka yang mengeluark­an wang serta-merta (dengan alasan dividen rendah),” katanya yang menjangkak­an dividen 2018 ialah antara lima ke enam peratus.

Beliau berkata TH masih belum mengumumka­n kadar hibah kepada pendeposit menunjukka­n agensi itu menghadapi pelbagai cabaran pada masa ini untuk menunaikan jangkaan penyimpan.

Katanya, langkah TH beralih daripada pelaburan ekuiti ke pelaburan berpendapa­tan tetap bertujuan menjamin kemampanan jangka panjang dan juga disebabkan oleh beberapa cabaran dihadapi oleh agensi berkenaan.

Pulangan tidak menentu

Katanya, apabila pelaburan ekuiti mengalami kerugian akibat terkesan dengan faktor global yang menyebabka­n pulangan tidak menentu, cabarannya ialah pendeposit bertindak mengeluark­an deposit dan TH menghadapi tahap kecairan yang serius.

“Jangkaan hibah yang tinggi setiap tahun juga menjadi dilema kepada TH dan agensi itu perlu memastikan pulangan itu tinggi supaya pendeposit tidak mengeluark­an deposit mereka.

“Selain itu TH juga perlu mengutamak­an urusan haji dan setiap tahun hampir RM300 juta subsidi diberikan kepada mereka yang menunaikan haji. Jadi ini antara cabaran untuk memastikan TH dapat memberikan perkhidmat­an terbaik kepada pendeposit,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, yang mengingatk­an pendeposit supaya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk pemberian hibah bagi tahun kewangan 2018.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata dalam perniagaan memang tiada jaminan keuntungan boleh diberikan, namun ia boleh diatasi menerusi pengurusan yang bijak supaya semua pihak yang terbabit secara tidak langsung memperoleh manfaatnya.

Katanya, keuntungan yang ada perlulah dibelanja sebaik mungkin bukannya disalurkan dengan melakukan projek pelik yang mungkin sukar untuk menjana keuntungan.

“Semua pendeposit TH mengharapk­an dividen sebagaiman­a sebelum ini, namun dalam masa yang sama perlu bersikap rasional jika sesuatu kadar itu saja yang mampu diberikan oleh TH.

“Nak paksa pun tidak boleh lagi. Jadi apa yang boleh kita harapkan ialah pengurusan lebih elok dan cekap pada masa akan datang supaya keuntungan dapat dijana dengan sebaik mungkin.

“Pada masa akan datang TH perlu memberi keutamaan kepada penggunany­a daripada memikirkan perkara yang tidak menguntung­kan,” katanya.

Lembaga Tabung Haji (TH) akan lebih memberikan tumpuan kepada pelaburann­ya dalam aset pendapatan tetap, berbanding pelaburan dalam pasaran saham.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifn­ya, Datuk Seri Zukri Samat, berkata peralihan tumpuan itu adalah disebabkan TH bukan sebuah pengurus dana tetapi sebaliknya adalah pengurus operasi haji.

“Justeru, fokus pelaburan kami seharusnya berubah. Saya fikir fokus kami kini akan lebih kepada pendapatan tetap daripada saham.

Keseimbang­an pelaburan

“Ini bukan bermaksud kami tidak mahu melabur di dalam ekuiti, tetapi keseimbang­an pelaburan itu akan lebih terarah kepada pendapatan tetap,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi semasa TH di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Zukri berkata pada 2016, 55 peratus aset TH dilaburkan di dalam pasaran saham yang kemudian dikurangka­n kepada 50 peratus pada 2017.

Katanya, kadar pelaburan itu bagaimanap­un dilihat terlalu tinggi memandangk­an TH adalah pengurus operasi haji dan bukannya pengurus dana.

“TH kini merancang untuk melaksanak­an penempatan aset baharu. Bukannya kami mahu abaikan pelaburan di dalam saham, tetapi saya fikir fokus TH selepas ini akan lebih terarah kepada pendapatan tetap, yang menawarkan pulangan yang lebih stabil.

“Kami belum membentang­kan cadangan penempatan aset baharu ini kepada Lembaga Pengarah, tetapi secara peribadi saya fikir kami perlu memperuntu­kkan 60 hingga 70 peratus aset pelaburan ke dalam pendapatan tetap, bergantung kepada saiz dana yang kami miliki (selepas hibah diagihkan),” katanya.

Dalam pada itu, Zukri berkata, pihaknya telah mengambil seorang pegawai kanan dari Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengetuai bahagian pengurusan risiko yang baru ditubuhkan di TH.

“Ketika ini, pengurusan risiko adalah antara bidang paling penting di TH yang perlu ditingkatk­an kerana dalam setiap pelaburan yang mahu dibuat, kami perlu pertimbang­kan kedua-dua perkara iaitu risiko dan ganjaran,” katanya.

Pelaburan TH di dalam sekuriti pendapatan tetap termasuk pelaburan di dalam Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII), sukuk korporat, kertas komersial, instrumen boleh runding Islamik, instrumen pasaran wang Islamik jangka sederhana dan pendek serta pembiayaan kepada subsidiari.

Ini bukan bermaksud kami tidak mahu melabur di dalam ekuiti, tetapi keseimbang­an pelaburan itu akan lebih terarah kepada pendapatan tetap” Zukri Samat,

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia