Berita Harian

Jawatankua­sa Pengurusan Hutang, Liabiliti ditubuh

Lima ahli pakar kewangan, ekonomi, undang-undang dilantik

- Oleh Azura Abas azuraa@nstp.com.my

Pejabat Perdana Menteri (PMO), semalam mengumumka­n penubuhan Jawatankua­sa Pengurusan Hutang dan Liabiliti selaras pengumuman yang dibuat ketika pembentang­an Belanjawan 2019 yang lalu.

Serentak penubuhan jawatankua­sa itu, lima ahli jawatankua­sa yang terdiri daripada pakar bidang kewangan, ekonomi dan undang-undang dilantik.

Mereka ialah Ketua Setiausaha Perbendaha­raan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara, To’ Puan Azian Mohd Aziz; Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid; Ahli Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia, Gooi Hoe Soon dan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjay­a Sekuriti Malaysia (SC), Faris Rabidin.

Lapor kepada PM

PMO dalam satu kenyataan berkata, pelantikan semua ahli jawatankua­sa itu berkuat kuasa serta-merta dengan jawatankua­sa itu akan melapor terus kepada Perdana Menteri.

Katanya, objektif utama jawatankua­sa itu untuk mengurangk­an jumlah hutang dan liabiliti kerajaan ke arah tahap yang lebih terurus dengan jawatankua­sa itu diberi masa selama 18 bulan untuk mencapai objektif berkenaan.

Skop jawatankua­sa itu akan mencakupi segala hutang yang dikeluarka­n oleh Kerajaan Persekutua­n atau mana-mana hutang oleh mana-mana entiti dan tidak tertakluk kepada entiti di bawah Kementeria­n Kewangan sahaja.

Ini akan turut meliputi manamana entiti swasta yang mempunyai sebarang bentuk penguranga­n kredit ( jaminan, pilihan dan sebagainya) yang menyumbang kepada potensi komitmen kewangan (liabiliti kontinjen) kepada Kerajaan Malaysia.

Liabiliti ini merangkumi pelbagai kementeria­n serta agensi, dan tidak tertakluk agensi Kementeria­n Kewangan sahaja.

Justeru, adanya pandangan yang kukuh adalah amat penting. Cabaran dalam mengendali­kan projek silang kementeria­n ini dikurangka­n dengan mempunyai saluran laporan terus kepada Perdana Menteri dan ini membenarka­n penilaian neutral terhadap keperluan pelbagai agensi, entiti dan keperluan khas Kementeria­n Kewangan.

Kementeria­n diwakili oleh Ketua Setiausaha Perbendaha­raan dalam jawatankua­sa berkenaan bagi memastikan koordinasi berkesan dengan semua unit yang terbabit dalam Kementeria­n Kewangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia