Berita Harian

Syarikat import sisa plastik kena fi, caj

-

Putrajaya: Syarikat pengimport sisa plastik akan dikenakan bayaran fi bagi lesen, verifikasi serta caj bagi setiap tan sisa plastik yang mereka import.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata keputusan bagi kadar caj dan bayaran berkenaan akan diputuskan sebulan lagi.

“Selama ini sisa plastik yang diimport ke dalam negara tidak pernah dikenakan cukai, cuma kilang bayar lesen kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), itu sahaja mereka bayar, tapi dari segi cukai import tidak ada.

“Jadi syarat baharu kita akan kenakan bayaran fi untuk lesen, verifikasi dan caj kepada setiap tan yang diimport. Ketika ini kita dalam proses perundanga­n dan sebulan lagi kita akan tetapkan (kadar),” katanya selepas sesi taklimat bersama orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO) di sini, semalam.

Beliau berkata, langkah kerajaan mengenakan syarat baharu itu bagi memberi pendapatan kepada negara dan pada masa sama pihaknya akan meneruskan semakan terhadap potensi perniagaan berkenaan.

“Sekiranya ia perniagaan yang baik dan bawa hasil kepada negara dan dipantau dengan baik serta syarikat mematuhi peraturan ditetapkan maka ini satu bidang yang boleh kita kembangkan.

“Namun saya harus tegaskan bahawa plastik yang kita lihat berlambak, dibuang dan kotor itu bukan plastik yang kita benarkan untuk diimport.

“Tapi saya tidak nafikan bahawa ada pihak (pengimport) yang tidak mengikut peraturan dan membuat pembohonga­n sewaktu mengisi borang Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Minta JKDM main peranan

“Jadi kita akan minta JKDM untuk mainkan peranan dengan pastikan plastik berkualiti sahaja yang boleh diimport dan kita mensyaratk­an pemeriksaa­n 100 peratus kontena membawa sisa plastik ini,” katanya.

Selain itu Zuraida berkata, kementeria­nnya juga akan mengkaji semula denda RM300 yang dikenakan bagi kesalahan kilang plastik haram yang disifatkan terlalu rendah.

“Kesalahan pertama denda RM300 begitu juga denda untuk kesalahan kedua dan ketiga. Sedangkan keuntungan yang dijana kilang haram ini ini tinggi sampai ratusan ribu ringgit. Kita akan kaji akta supaya hukuman lebih berat dikenakan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya juga masih belum meluluskan sebarang pemberian lesen import (AP) bagi sisa plastik kepada mana-mana syarikat sejak ia dibekukan pada Julai tahun lalu.

“Selepas dibekukan dan permohonan untuk AP dibuka semula, hanya 19 syarikat memohon dan setakat ini kita sudah melawat 13 premis syarikat itu,” katanya.

Dalam pada itu mengulas kebimbanga­n Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail berhubung isu negara ini mengimport sisa plastik termasuk dari negara maju, beliau berkata kementeria­nnya akan mengkaji kesan sisa plastik import terhadap kesihatan manusia.

 ??  ?? Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia