Berita Harian

Enam YB isytihar Bebas dijangka sertai semula UMNO

Serah surat permohonan selepas terima tekanan undang-undang tindakan saman

- Oleh Rohaniza Idris

Enam ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengumumka­n keluar parti UMNO pada bulan lalu dijangka memohon kembali sebagai ahli parti itu.

Difahamkan, keenam-enam Ahli Parlimen itu kembali semula ke dalam UMNO kerana menerima tekanan undang-undang berikutan tindakan saman terhadap mereka dibuat akhir bulan lalu.

Sumber parti memberitah­u sudah ada perbincang­an antara keenam-enam Ahli Parlimen itu dengan Timbalan Presiden yang menjalanka­n tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Jemaah Penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Mereka sudah menyerahka­n permohonan menjadi ahli parti kepada ibu pejabat, minggu lalu,” katanya.

Enam Ahli Parlimen yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas itu, meninggalk­an UMNO pada 14 Disember lalu.

Belum terima permohonan

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata beliau ada mendengar khabar angin mengenai kemasukan semula enam Ahli Parlimen berkenaan.

Setakat ini, katanya, ibu pejabat belum menerima apa-apa permohonan daripada enam wakil rakyat itu untuk menjadi ahli, semalam.

“Dalam pengetahua­n saya, tiada permohonan daripada enam Ahli Parlimen berkenaan tetapi mungkin mereka ada buat permohonan mengikut bahagian memandangk­an bahagian ada kuasa untuk memproses permohonan sebelum dihantar ke ibu pejabat.

“Dengan kata lain, bahagian yang akan menapis permohonan mereka yang mana didaftarka­n secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi

Ditanya sama ada UMNO akan menerima enam wakil rakyat itu, Mahdzir berkata, UMNO bersikap terbuka namun kelulusan kemasukan adalah di bawah bidang kuasa Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Terbuka terima permohonan

“Kita terbuka untuk sesiapa sahaja masuk parti ini sama ada mereka daripada parti lawan, bekas ahli parti atau mana-mana individu yang tiada parti,” katanya.

Sementara itu, Ikhmal Hisham ketika dihubungi berkata, buat masa ini, beliau belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti politik.

“Maaf, setakat ini belum ada keputusan untuk menyertai manamana parti,” katanya.

 ??  ?? Mahdzir Khalid BH.
Mahdzir Khalid BH.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia