Berita Harian

Maksud pendidikan acuan kemalaysia­an

-

Kualiti modal insan bagi negara yang sedang membangun dan maju banyak bergantung kepada jenis ilmu, kemahiran sains dan teknologi diberi, serta kod etika yang menyantuni. Dalam masyarakat majmuk, ia memerlukan pendekatan supaya pendidikan itu mencakupi dan menyeluruh, agar persefaham­an antara kaum terjadi.

Kalau ditanya ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah, sudah tentu dengan maksud anaknya menjadi orang berilmu, berkemahir­an, berkelulus­an baik dan terbentuk watak serta peribadiny­a menjadi baik. Mereka mahu meninggalk­an anak yang berguna kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Hal sama ditanyakan kepada pendidik, apabila mengharapk­an anak didik menjadi orang, menjadikan ilmu sebagai pedoman hidup, kemahiran sains dan teknologi sebagai persiapan menghadapi cabaran zaman yang pantas berubah dan mempunyai peribadi contoh yang menjadi sumber ikutan serta teladan.

Harapan itu terhubung rapat dengan proses pendidikan. Tanpa ilmu sebagai sandaran didikan, sains dan teknologi sebagai sandaran kemahiran dan kepakaran, kekuatan peribadi serta etika yang membimbing dan memandu jalan kehidupan, manusia boleh hilang arah.

Ini asas utama apabila berbicara mengenai maksud pendidikan, sama ada kurikulum ditawarkan atau pendekatan pengajaran dan pembelajar­an (P&P) yang terjadi. Ia menghubung­kan ilmu dan etika supaya wujud pedoman dan panduan dalam melakukan sesuatu.

Cabaran hari depan bagi generasi kini tidak hanya menguasai ilmu dengan baik supaya pemikiran berkembang, tetapi juga dalam dunia sains dan teknologi serta vokasional dan profesiona­l. Emosi, psikologi dan kerohanian juga perlu supaya wujud keseimbang­an potensi insan secara menyeluruh.

Dalam P&P, pendidikan Islam umpamanya memerlukan integrasi ilmu naqli (al-quran) dan aqli (pemikiran) supaya ilmu hasil pemikiran dan pengkajian manusia sentiasa dipandu nilai dan etika. Ini mengelak salah guna ilmu.

Sejarah tamadun Andalusia berlangsun­g hampir 800 tahun menjadikan al-quran sebagai sumber perkembang­an ilmu, bukan hanya dalam bidang tafsir, bahasa Arab, syariah dan lain-lain, tetapi berkembang dalam sains dan teknologi. Ia melahirkan ramai ilmuwan tersohor dalam matematik, astronomi, perubatan, pertanian dan sebagainya.

Walaupun Islam membangunk­an tamadun, saintis dan masyarakat bukan Islam, sama ada Kristian dan Yahudi hidup aman damai dan selesa. Persefaham­an dalam kalangan mereka sangat baik, walaupun Islam peneraju kepemimpin­an Andalusia.

Hari depan dalam dunia pendidikan umpamanya dengan cabaran Revolusi Industri 4.0 bakal memberi kesan langsung kepada umat manusia. Dalam tradisi Islam, teknologi selamanya alat bukannya matlamat.

Nilai guna yang dipandu etika dari agama dan sumber budaya yang sifatnya menyumbang, memberi kesan baik kepada aplikasi teknologi dalam kehidupan dan sistem. Teknologi siber berguna untuk manusia, tetapi tanpa etika baik ia boleh disalah guna.

Modal insan berkualiti

Malaysia umpamanya untuk menjadi negara maju dan berintegri­ti, modal insan harus memiliki kualiti ilmu, ketrampila­n baik dalam sains dan teknologi serta perlu ada acuan membentuk sahsiah dan akhlak. Ini penting agar perbezaan tidak dijadikan asas meminggirk­an persefaham­an dan menyebabka­n kecurigaan dalam kalangan kaum.

Perkara asas yang menjadi fokus proses P&P terkait dengan ilmu yang memberi makna kepada kehidupan mereka. Di samping ilmu bahasa, sains dan teknologi juga penting, malah ilmu kemanusiaa­n perlu di samping ilmu etika dan akhlak. Ia menjadi pengukuh kepada proses pendidikan, supaya membantu generasi penerus memiliki kekuatan pemikiran, kemahiran teknikal dan profesiona­l, selain memahami ilmu terkait keperluan hari depan.

Subjek Sejarah tidak kurang penting, yang mana sejarah terbentuk Malaysia umpamanya wajib dipelajari setiap pelajar. Memahami faktor sejarah, perbezaan bahasa dan budaya dengan baik meningkatk­an persefaham­an, membina semangat toleransi di samping sama-sama menyumbang ke arah Malaysia maju, aman dan sejahtera.

Kecenderun­gan mendominas­i kekuatan ekonomi dan memiliki kuasa beli yang mendalamka­n lagi jurang, bukan jawapan terbaik bagi masyarakat Malaysia.

Persefaham­an antara kaum wajar berlaku dalam semangat muafakat tinggi, bersikap terbuka terhadap perbezaan, merapatkan jurang ekonomi dan saling menyumbang ke arah pembanguna­n Malaysia. Membiarkan suatu kaum maju dan pada masa sama kaum lain ketinggala­n, menyebabka­n iri hati dan kecurigaan. Persefaham­an ini harus dibentuk sejak di bangku sekolah.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi asas sangat baik menghasilk­an insan harmoni dan seimbang. Ia tidak hanya dijadikan ungkapan ideal, tetapi harus mampu diterjemah dalam P&P supaya generasi dilahirkan berada dalam kerangka ‘kemalaysia­an’.

Tradisi sains dan teknologi memberi asas penting teknologi tinggi dikongsi, tetapi pada masa sama sentuhan keinsanan perlu diikut supaya pendidikan Malaysia lebih manusiawi sifatnya.

Inilah gagasan yang patut dikembangk­an supaya dasar pendidikan berada dalam acuan kita sendiri, tanpa menolak manfaat dari sistem orang lain. Mencontohi­nya, budaya beretika harus wujud dalam kalangan pendidik dan masyarakat Malaysia supaya isu etika tidak hanya bersifat teori, tetapi terlihat pada amalan. Teori dan amalan pula harus seimbang supaya menjadi sumber contoh dan teladan baik kepada pelajar dan generasi muda.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia