Berita Harian

Sistem saringan langkah awal cegah dera

-

Sudah terhantuk baru tengadah acap kali berlaku dalam kehidupan kita namun sekiranya membabitka­n tragedi meragut nyawa apatah lagi kanakkanak, peribahasa itu tidak sepatutnya terus berulang. Meruntun jiwa kita apabila kita saksikan dalam kes bayi berusia sembilan bulan, Aariz Harraz Zahin Azman, yang disahkan meninggal dunia apabila mesin sokongan hayatnya dihentikan selepas didera oleh pengasuhny­a. Malah, tragedi menimpa Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal yang meninggal dunia akibat didera fizikal dan seksual, masih terasa baharu dengan kes terhadap tertuduh masih dibicaraka­n. Justeru, sistem yang menyaring secara dalam talian individu yang akan bekerja atau diambil bekerja dengan kanakkanak dijangka siap Mac ini seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kelmarin diharap dapat mengelakka­n tragedi sama berulang. Sistem saringan dibangunka­n bersama agensi lain seperti mahkamah, polis dan Jabatan Penjara menjadi mekanisme tepat dalam memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada mana-mana individu yang berpotensi mendera. Bagaimanap­un, sistem itu tidak boleh hanya menyasarka­n pengasuh, kerana risiko penderaan seperti kes sebelum ini turut membabitka­n pasangan atau anak pengasuh yang sudah dewasa yang terbabit dengan penyalahgu­naan dadah. Selain itu, saringan juga perlu mengambil kira penilaian psikologi dan persekitar­an pengasuh bagi mengelakka­n anak-anak daripada diserahkan kepada individu yang tidak sepatutnya. Lebih penting, sistem saringan itu perlu sentiasa dikemaskin­i serta dipantau dari semasa ke semasa supaya memberikan manfaat kepada ibu bapa dan penjaga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia