Berita Harian

Pemimpin diminta berkhidmat penuh amanah

-

Pekan: Sultan Pahang, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-musta’in Billah, mahu kepemimpin­an kerajaan negeri di setiap lapisan berkhidmat kepada rakyat dengan penuh amanah, bertanggun­gjawab serta menjunjung sifat ketakwaan.

Dalam titah sulungnya selepas dimasyhurk­an sebagai Sultan, baginda bertitah hanya pemimpin yang bertakwa akan menginsafi bahawa setiap perbuatan dan keputusan yang dibuat bakal dihitung di akhirat kelak.

“Kepada rakyat jelata sekalian, saya ini tidak ubah ‘bagai condong yang akan menongkat, bagai rebah yang akan menegak. Kekuatan sebuah negeri adalah kerana Raja pemerintah, manakala kekuatan Raja pemerintah terletak kepada kerajaan dan rakyatnya.

“Kepada sayalah tempat sekalian rakyat menumpang teduh apabila dilanda musibah dan menumpang kasih apabila berduka.

“Legasi pemerintah­an Paduka Ayahanda (Sultan Ahmad Shah) yang berpaksika­n kepada kata keramat ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ akan terus saya jadikan sebagai cogan utama pemerintah­an saya,” titahnya pada majlis pemasyhura­n Sultan Pahang Ke-6, di Istana Abu Bakar, di sini, semalam.

Turut berangkat ke majlis itu isteri baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h; Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam Sultan Ahmad Shah.

1,500 tetamu hadir

Kira-kira 1,500 tetamu dalam kalangan kerabat Diraja Pahang, orang kenamaan, ketua jabatan dan rakyat Pahang memeriahka­n majlis pemasyhura­n itu.

Baginda mengakhiri titahnya dengan memetik kata-kata sahabat Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar As-siddiq ketika diangkat sebagai khalifah pertama.

“Sesungguhn­ya aku telah dilantik sedangkan aku bukanlah yang terbaik daripada kalangan kamu maka jika aku berbuat baik bantulah aku namun jika aku berbuat salah maka perbetulka­n aku. Kebenaran itu adalah amanah sedangkan pendustaan adalah khianat.

“Maka taatlah kepada aku selama mana aku taat kepada Allah dan Rasulnya dan jika aku menderhaka­i Allah dan Rasulnya maka tidaklah perlu kamu mentaati aku, mudah-mudahan kata-kata ini akan menjadi panduan sepanjang pemerintah­an saya,” titahnya.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dalam ucapan taat setianya mewakili rakyat berkata kemakmuran dan kesejahter­aan negeri Pahang akan terus kekal di bawah pemerintah­an Al-sultan Abdullah.

Katanya, pemerintah­an Alsultan Abdullah akan kekal cemerlang sama seperti ketika pemerintah­an Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah sebelum ini.

Katanya, beliau bersama seluruh rakyat Pahang mempunyai keyakinan tinggi bahawa Al-sultan Abdullah akan berjaya di singgahsan­a takhta kesultanan dengan penuh kesabaran dan kedaulatan.

“Malah, daripada segi peranan Raja-raja Melayu sendiri Tuanku mempunyai pendirian yang bukan sahaja jelas tetapi tegas,” katanya.

Wan Rosdy percaya, di bawah pemerintah­an Al-sultan Abdullah bukan sahaja kaum Melayu berasa dilindungi malah semua kaum yang lain termasuk Cina, India dan Orang Asli.

 ?? [FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN /BH] ?? Al-sultan Abdullah bersalaman dengan jemputan yang hadir.
[FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN /BH] Al-sultan Abdullah bersalaman dengan jemputan yang hadir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia