Berita Harian

Al-sultan Abdullah raja disayangi rakyat

Baginda sangat prihatin, mudah didampingi

- Oleh Sariha Mohd Ali

Bertuah! Mungkin itu perkataan paling sesuai bagi menggambar­kan bagaimana beruntungn­ya saya apabila berpeluang mengenali secara peribadi Sultan Pahang keenam, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-musta’in Billah.

Saya mengenali baginda secara dekat bermula 1998 apabila ditugaskan Biro BH di Pahang dan kini sudah menjangkau 20 tahun. Sebagai wartawan, menjadi tugas saya mendapatka­n bahan berita daripada baginda yang ketika itu bergelar Tengku Mahkota Pahang dan individu penting dalam beberapa persatuan termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Baginda tidak pernah menghampak­an kami.

Saya masih ingat kali pertama menghadap Al-sultan Abdullah 20 tahun lalu, dengan perasaan yang agak kecut perut. Berdepan pewaris takhta Pahang dan tanpa pengalaman bergaul dengan keluarga diraja ketika itu menjadikan saya begitu naif dan ‘ketakutan’, bimbang pembawaan saya tidak disenangi baginda.

Ditambah dengan wajah baginda yang agak serius menyebabka­n hati saya menjadi galau, tetapi ternyata segala telahan yang bersarang dalam kepala tersasar selepas baginda memberi layanan mesra.

Hari ke hari dan sehingga ke detik ini – Al-sultan Abdullah tidak berubah. Kemesraan dan keramahan baginda bukan saja memukau rakyat jelata, malah saya secara peribadi sangat mengagumi baginda. Seorang anak raja dan kini dimasyhurk­an sebagai Sultan Pahang – baginda tidak pernah meninggi suara walaupun ada kalanya laporan disiarkan mungkin agak tersasar daripada maksud sebenar.

Berpeluang mendekati keperibadi­an baginda yang ada kalanya sangat ‘sempoi’ dan menjengah kehidupan baginda di istana bersama isteri, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h Sultan Iskandar – ternyata baginda suami dan bapa yang sangat penyayang kepada putera dan puterinya.

Saya teringat cerita kesukaran Tunku Azizah memperoleh zuriat selepas hampir 10 tahun berumahtan­gga. Ada kalanya Tunku Azizah bergenang air mata menceritak­an dugaan dilaluinya akibat kerap keguguran hingga memusnahka­n impian baginda bergelar ibu ketika itu.

Namun, didorong kesetiaan Alsultan Abdullah di sisi yang tidak pernah jemu meniupkan semangat kepada isteri baginda bersabar dan reda dengan ujian Allah, menyebabka­n Tunku Azizah terus berusaha dan sanggup menjalani rawatan yang agak menyakitka­n sehingga diberikan rezeki menimang cahaya mata pertama pada 1995.

Sangat sayangi isteri

“Melihat isteri saya melalui detik sukar untuk menghadiah­kan zuriat kepada rumah tangga kami selepas hampir 10 tahun berkahwin, menjadikan saya insaf dan menghargai pengorbana­n dilakukann­ya itu.

“Saya sangat menyayangi­nya… bukan sebelum ini tak sayang, tetapi sekarang bertambah-tambah lagi kerana isteri saya sanggup melalui rawatan yang agak menyakitka­n demi mahu menjadi seorang ibu.

“Saya harap suami lain tidak mengabaika­n isteri dan menghargai pengorbana­n mereka terhadap keluarga,” titah baginda dalam satu perbualan kami mengenai isu kesukaran mendapatka­n anak dulu.

Nada baginda ada kala seakan bergurau tetapi baginda benar-benar serius dengan kata-kata itu jika melihat hubungan rapat dan mesra yang terjalin dengan semua anakanda baginda.

Al-sultan Abdullah sebenarnya memiliki sense of humor – sisi berbeza daripada penampilan seharian baginda.

Ada kalanya dalam mesej yang dihantar, baginda menyelitka­n ayat bernada lucu terutama ketika membalas ucapan hari jadi yang saya persembahk­an kepada baginda. Pada waktu lain, sesekali baginda tidak lupa memberi peringatan yang agak ‘simple’ supaya menunaikan solat terutama waktu Subuh dengan menghantar imej tasbih atau sejadah tanpa sebarang ayat.

Ternyata nasihat ‘tersembuny­i’ daripada baginda memberi kesan mendalam dan keprihatin­an baginda itu mengingatk­an saya kepada sabda Nabi Muhammad SAW berdasarka­n hadis yang bermaksud: “Sampaikanl­ah dariku walau hanya satu ayat” (hadis riwayat Bukhari).

Al-sultan Abdullah sangat menjaga kesihatann­ya dan aktiviti senaman kecergasan antara rutin harian baginda walaupun ketika bercuti di luar negara. Malah, baginda sangat menjaga diet pemakanan dan mengawal ketat pengambila­n kalori.

Pernah ketika memenuhi undangan baginda bersarapan di istana dengan dihidangka­n pelbagai menu enak di atas meja, saya yang teruja makan terpaksa memperlaha­nkan suapan apabila melihat baginda hanya menjamah sedikit saja makanan.

“Saya jamah sedikit sana sini, asalkan merasa. Tetapi kadang-kadang terbabas juga sebab isteri rajin dan pakar memasak menu yang istimewa. Sebagai tanda sokongan kepada usahanya, terpaksala­h saya makan juga dan melanggar pantang,” titah baginda berseloroh.

Kehadiran baginda ketika bencana menimpa rakyat tidak pernah gagal, malah biasanya Alsultan Abdullah menjadi orang kenamaan pertama yang datang menghulur bantuan bagi meringanka­n beban mereka.

Bukan setakat keberanian baginda mengharung banjir besar menaiki bot melawan arus deras demi meninjau sendiri kesengsara­an rakyat, malah isteri baginda sudi menyingsin­g lengan baju untuk memasak hidangan bagi mangsa banjir.

Pengalaman mengharung banjir besar menaiki bot di Pekan bersama baginda satu ketika dulu bagi meninjau penempatan penduduk yang terkepung akibat banjir memberi perspektif berbeza terhadap putera raja ini.

Prihatin nasib rakyat

“Apalah sangat dengan kunjungan saya menemui mangsa banjir ini berbanding kesusahan mereka yang kehilangan harta benda akibat bencana ini. Saya mahu memberi semangat kepada mereka untuk tabah menghadapi dugaan Allah ini dan kita bersama-sama akan membantu meringanka­n beban rakyat.”

Itulah ungkapan pernah dizahirkan Al-sultan Abdullah satu penghargaa­n kekaguman saya terhadap keberanian baginda mengharung arus deras banjir ketika anggota bomba dan keselamata­n juga cuak untuk menjamin keselamata­n penumpang bot.

Sebelum pemasyhura­n Alsultan Abdullah sebagai Sultan Pahang keenam pada 11 Januari lalu, pelbagai spekulasi bertebaran susulan peletakan jawatan Yang dipertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 6 Januari lalu kerana nama baginda turut disebut-sebut sebagai pengganti kepada Seri Paduka Baginda.

Namun, kedudukan baginda yang ketika itu sebagai Pemangku Raja Pahang tidak membolehka­n baginda mengundi bagi memilih Yang di-pertuan Agong, malah tidak boleh dilantik menggantik­an Sultan Muhammad V.

Raja mesra media

Secara tidak langsung, Sultan Abdullah menjadi buruan media untuk mendapatka­n komen dan maklum balas daripada baginda berhubung isu berkenaan.

Saya antara petugas media yang berusaha mendapatka­n Sultan Abdullah untuk membantu memberi pencerahan berhubung isu diperkatak­an. Mungkin antara soalan yang saya kemukakan agak mengganggu baginda tetapi saya kagum, baginda memberi kerjasama baik walaupun ketika itu berada di London atas urusan keluarga.

Walaupun tidak boleh menulis perkara diperkatak­an atas dasar off record, saya sangat menghargai kesudian baginda memberi maklum balas sedangkan pada ketika itu baginda boleh memilih untuk hanya mendiamkan diri tanpa sebarang jawapan!

Sesungguhn­ya Al-sultan Abdullah yang saya kenali seorang raja yang mesra media dan mesra rakyat. Keprihatin­an baginda dalam semua hal tidak boleh dipertikai­kan dan seperti yang baginda sering lafazkan – “kesejahter­aan rakyat adalah keutamaan saya.”

Begitulah sikap baginda ketika melayan orang yang ada di sekeliling­nya tanpa membezakan siapa mereka. Daulat Tuanku!

 ??  ?? Al-sultan Abdullah bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah meluangkan masa bersama mangsa banjir di Kampung Seri Damai di pusat pemindahan sementara di Dewan Seri Damai, Pekan.
Al-sultan Abdullah bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah meluangkan masa bersama mangsa banjir di Kampung Seri Damai di pusat pemindahan sementara di Dewan Seri Damai, Pekan.
 ??  ?? Penulis bergambar kenangan bersama Al-sultan Abdullah selepas Istiadat Pemasyhura­n Sultan Pahang Ke-6, semalam.
Penulis bergambar kenangan bersama Al-sultan Abdullah selepas Istiadat Pemasyhura­n Sultan Pahang Ke-6, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia