Berita Harian

Caj parkir tinggi bebankan penduduk

Kadar dikenakan bagi tempoh 7 hari seminggu tidak masuk akal

- Laporan Syed Umar, Nasaruddin Mohd Parzi, Rizanizam Abdul Hamid, Sharaani Ismail, Nik Sukry Ramli dan T N Alagesh bhnews@bh.com.my

Caj tempat meletak kenderaan yang tinggi dikenakan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) ketika ini membebanka­n penduduk di kawasan ini.

Demikian luahan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran, sambil memaklumka­n caj yang dikenakan untuk tempoh tujuh hari seminggu itu, sememangny­a tidak masuk akal.

Beliau berkata, ini antara masalah setempat yang dikenal pasti, selain mengakui pihaknya banyak menerima aduan daripada masyarakat di sini mengenai perkara itu.

“Rakyat tidak puas hati, pembayaran caj letak kereta selama tujuh hari seminggu, Ahad pun mereka kena bayar. Ipoh dan Kuala Lumpur, Ahad pun tidak perlu bayar.

“Memandangk­an caj baharu ini dikemukaka­n (berkuat kuasa) Oktober tahun lalu, kita tidak jangka kadar bayaran dikenakan begitu tinggi, bayaran bulanan pun tinggi. Seumpamany­a kita lihat, di Kuantan RM52 untuk bayaran bulanan, di sini, RM80 kalau saya tidak silap, saya tidak tahu apa puncanya (caj tinggi),” katanya.

Beliau berkata, wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata sudah mengajukan masalah ini kepada MDCH, tetapi seperti tidak mendapat penjelasan yang baik.

Peruntukan boleh ditukar

“YB (Yang Berhormat) kita di sini sudah tulis surat rasmi kepada mereka, tetapi mereka nyatakan tidak dapat turunkan caj tempat letak kereta, alasannya ia mengikut peruntukan mengikut Akta Pengangkut­an Jalan 1987 dan tidak boleh dipinda.

“Saya sebagai peguam mahu beritahu ini tidak betul. Peruntukan boleh ditukar dan tidak perlu pindaan di Parlimen pun,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Perayaan Ponggal di Tanah Rata, di sini.

Memasuki hari keempat berkempen, sesi bertemu rakyat memulakan jelajah kempen Manogaran, dengan membuat kunjungan ke Kuil Sri Subramaniy­ar, Tanah Rata, sempena sambutan Ponggal.

Selepas itu, beliau meneruskan sesi kunjungan mesranya bertemu penduduk di Pasar Petang Betau di Pos Betau dan Sungai Koyan yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.

Sementara itu, peniaga dan pengunjung di daerah ini berharap bayaran parkir berkupon dikecualik­an sekurang-kurangnya pada Sabtu dan Ahad.

Pengunjung dari Kuala Pilah, Dayang Maslauyah Abdul Aziz, 43, berkata dia terkejut apabila mendapat tahu bayaran parkir dikenakan setiap hari bermula jam 8 pagi hingga jam 6 petang.

“Seperti di tempat saya, bayaran letak kereta di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan hanya dikenakan pada hari bekerja dan percuma pada Sabtu dan Ahad,” katanya.

Peniaga kedai makan di Tanah Rata yang hanya mahu dikenali sebagai Hamdan berkata, bayaran parkir setiap hari berbanding percuma sebelum ini agak melampau kerana menyukarka­n urusan harian penduduk pada hujung minggu.

Semakan di laman web MDCH menerusi www.mdcameron.gov.my mendapati, bayaran tempat letak kereta berkupon bermula 1 Oktober lalu meliputi kawasan Tanah Rata, Brinchang dan Kea Farm.

Kadar yang dikenakan adalah 60 sejam atau RM6 sehari bermula jam 8 pagi hingga jam 6 petang. Tempat Letak Kereta Berpusat di Medan Agro Keafarm dan Pasar Malam Golden Hills bagaimanap­un dikenakan RM3. Kupon parkir bulanan pula dijual pada harga RM80.

 ?? [FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG /BH] ?? Manogaran beramah mesra dengan penduduk setempat ketika berkempen di Pasar Petang Betau, Cameron Highlands, semalam.
[FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG /BH] Manogaran beramah mesra dengan penduduk setempat ketika berkempen di Pasar Petang Betau, Cameron Highlands, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia