Berita Harian

Mesyuarat khas SPR bincang PRK DUN Semenyih Jumaat

-

Putrajaya: Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Jumaat ini.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, berkata SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Sue Lim, kelmarin, berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Semenyih berikutan kematian penyandang­nya, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lalu.

Beliau berkata, mesyuarat khas itu akan dipengerus­ikan Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun bertempat di Ibu Pejabat SPR, di sini.

Bincang tarikh penting

Katanya, mesyuarat itu akan membincang­kan mengenai tarikh penting urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu selain persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanak­an pilihan raya berkenaan.

“Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pada 11 Januari lalu, Bakhtiar, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada jam 4.45 pagi, akibat serangan jantung.

Allahyarha­m dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahka­n penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua BERSATU Bahagian Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Sue Lim, kelmarin, berhubung kekosongan luar jangka kerusi” Mohamed Elias Abu Bakar, Setiausaha SPR

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia