Berita Harian

5,800 pelajar terima kelengkapa­n sekolah

TNB serah sumbangan ringan beban keluarga kurang bernasib baik

- Oleh Ahmad Suhael Adnan ahmad.suhael@nstp.com.my

Sesi persekolah­an 2019 bagi hampir 5,800 pelajar daripada golongan kurang bernasib baik, lebih ceria apabila menerima sumbangan kelengkapa­n persekolah­an daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menerusi program ‘Back To School’, TNB menyumbang­kan sepersalin­an seragam sekolah, beg dan alat tulis bernilai RM200 setiap seorang kepada pelajar dari 30 lokasi seluruh Semenanjun­g dan Sabah.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie, berkata syarikat utiliti itu membelanja­kan RM1 juta untuk program itu tahun ini, bagi membantu meringanka­n beban ibu bapa daripada keluarga berpendapa­tan 40 peratus terendah (B40).

“Nilai sumbangan ini mungkin kecil untuk sesetengah keluarga, tetapi besar maknanya kepada ibu bapa penerima bantuan, khususnya yang mempunyai lebih daripada seorang anak masih bersekolah.

“Pelaksanaa­n program ‘Back To School’ ini diharap dapat mendorong dan menyuntik semangat kepada semua terus berusaha gigih untuk berjaya dalam pelajaran masing-masing,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Pakaian Persekolah­an Sesi 2019 di sini, semalam.

Sejak diperkenal­kan pada 2013, lebih 30,000 pelajar menerima bantuan menerusi program Back To School TNB, dengan nilai keseluruha­n sumbangan mencecah RM6.2 juta.

Pada majlis itu, Moggie menyampaik­an sumbangan kepada 400 pelajar daripada enam sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar, SK Bukit Bandaraya, SK Bukit Pantai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bangsar, SMK Bukit Bandaraya dan SMK Seri Pantai.

Moggie berkata, walaupun penerima bantuan program dikhususka­n kepada pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun, syarat itu dilonggark­an bagi pelajar di sekitar Lembah Pantai.

“Kelonggara­n ini dibuat atas dasar kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar atau dalam kata lain, wujudnya miskin bandar di kawasan ini,” katanya.

54 terima tajaan RM1,500

Mengulas lanjut, Moggie berkata, seramai 54 pelajar daripada tiga sekolah menengah berkenaan, turut menerima tajaan berjumlah RM1,500 setahun bagi tempoh tiga tahun, iaitu antara 2018 hingga 2020.

Katanya, tajaan itu bagi menampung keperluan asas persekolah­an daripada Tingkatan Tiga hingga Tingkatan Lima, menerusi program Bantuan Pendidikan B40.

Malah, katanya, TNB membelanja­kan lebih RM1 bilion untuk memberi manfaat kepada lebih 11,000 pelajar yang menerima tajaan, bantuan dan sokongan termasuk dermasiswa, biasiswa dan pinjaman boleh ubah, sejajar komitmen TNB memperkasa­kan pendidikan generasi pewaris serta membangunk­an modal insan negara.

“Anak-anak ini adalah masa depan kita yang bakal membentuk negara. Masa depan negara hanya boleh menjadi lebih baik jika dapat dipupuk pada peringkat awal oleh semua pihak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, pelajar SK Bukit Pantai, Ridqquan Ridzuan, 12, menzahirka­n rasa syukur dan terima kasih kepada TNB atas bantuan kelengkapa­n persekolah­an yang diberikan.

“Saya hanya ada satu set baju sekolah untuk tahun ini dan hari ini saya hanya pakai baju tahun lalu.

“Saya gembira apabila TNB berikan beg sekolah, baju, seluar dan kasut baharu,” katanya yang mahu memperoleh 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Mahu usaha lebih gigih

Bagi pelajar SMK Bukit Bandaraya, Ammerys Katrina Adam, 14, sumbangan TNB itu menjadikan­nya mahu berusaha lebih gigih untuk mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

“Saya gembira dengan bantuan ini yang membuatkan saya mahu berusaha lebih keras supaya berjaya pada masa depan,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi pereka bentuk dalaman.

Seorang lagi pelajar SMK Bukit Bandaraya, S Harikrishn­aa, 14, menghargai bantuan kelengkapa­n persekolah­an itu kerana ia dapat membantu meringanka­n beban ibu dan bapanya.

“Ibu dan bapa menasihatk­an saya untuk menjadikan bantuan ini sebagai motivasi untuk belajar lebih rajin,” katanya yang menetap di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai.

 ?? [FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ /BH] ?? Moggie pada Majlis Penyerahan Pakaian Persekolah­an
Sesi 2019 di Kompleks Sukan TNB, Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ /BH] Moggie pada Majlis Penyerahan Pakaian Persekolah­an Sesi 2019 di Kompleks Sukan TNB, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia