Berita Harian

Semua pihak digesa patuhi arahan JPV, PBT

Langkah kawal, elak penyebaran jangkitan anjing gila

- Oleh Shamsul Kamal Amarudin dan Zahratulha­yat Mat Arif

Semua pemilik anjing di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) diminta mematuhi arahan ditetapkan Jabatan Perkhidmat­an Veterinar (JPV) negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakka­n penyebaran jangkitan anjing gila atau rabies.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata adalah penting untuk penduduk bekerjasam­a memastikan wabak itu terkawal, antara lain segera membawa anjing peliharaan masing-masing mendapatka­n suntikan pelalian atau vaksin.

Beliau berkata, tindakan proaktif pemilik anjing juga dapat mengelakka­n wabak itu merebak ke luar daerah yang boleh mendatangk­an masalah lebih serius di negeri ini.

“Saya sudah diberi taklimat mengenai perkara ini, semalam (kelmarin), sebelum menandatan­gani pewartaan LMS, termasuk bandar Taiping, sebagai kawasan jangkitan rabies.

Ambil langkah proaktif

“Pemilik anjing perlu mengambil langkah proaktif mengelakka­n wabak ini menular ke kawasan lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Naluri Perdana Gopeng di Gopeng, dekat sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Pengarah Perkhidmat­an Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, dalam satu kenyataan berkata mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah LMS diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies berkuat kuasa serta-merta.

Ia susulan maklumat seorang pengadu bahawa dua ahli keluargany­a digigit anjing peliharaan­nya di Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping, bulan lalu, sebelum sampel otak haiwan itu diuji dan disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidik­an Veterinar, Ipoh.

Dr Quaza Nizamuddin berkata, sebanyak tiga lagi sampel anjing berkeliara­n dikesan positif daripada 30 sampel diambil pada 11 Januari lalu di sekitar kawasan Tupai Business Centre dan Pekan Sri Boyan.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, pihaknya bimbang akan risiko kanak-kanak bermain di luar rumah, termasuk di padang permainan awam, diserang anjing yang dijangkiti rabies sehingga mereka turut diancam wabak itu.

Justeru, beliau berkata, kerjasama sedang dilakukan antara JPV negeri dengan PBT di daerah terbabit adalah penting dalam usaha memastikan pengawalan dan penguatkua­saan lebih tersusun bagi menangani wabak itu.

“Wabak ini bukan berpunca dari sini (LMS), namun ia datang dari tempat luar. Saya tidak mahu membuat tuduhan (tetapi) sebab itu kawasan ini (LMS) pernah dijangkiti wabak rabies dan sekarang kena lagi, jadi perlu ambil tindakan segera,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Perak turut memberi jaminan bahawa vaksin dibekalkan kepada Jabatan Kesihatan negeri mencukupi bagi membendung wabak rabies, termasuk menangani jangkitan berkenaan di daerah LMS.

Wabak terkawal, tidak perlu panik

Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan, berkata justeru, masyarakat tidak perlu risau.

“Pegawai dari JPV negeri sedang bekerjasam­a dengan PBT untuk memastikan haiwan peliharaan terbabit diberikan vaksin,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sivanesan berkata, penduduk juga tidak perlu panik kerana wabak itu terkawal, selain meminta kerjasama orang ramai memberikan vaksin kepada haiwan peliharaan masing-masing meliputi anjing dan kucing.

“Sekiranya digigit anjing atau kucing liar, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital bagi mengelak daripada dijangkiti wabak itu,” katanya.

Tinjauan BH di beberapa kawasan di daerah Taiping mendapati proses vaksinasi sedang giat dilaksanak­an JPV negeri terhadap semua anjing dan kucing di situ.

Pemilik anjing perlu mengambil langkah proaktif mengelakka­n wabak ini menular ke kawasan lain” Ahmad Faizal Azumu, Menteri Besar Perak

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia