Berita Harian

Penganggur angguk faham tuduhan bunuh 2 beradik

Tertuduh minta bicara pertuduhan cedera lelaki

- Oleh Aizat Sharif

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dua pertuduhan membunuh dua kanak-kanak adik-beradik dan satu pertuduhan sengaja menyebabka­n kecederaan parah terhadap bapa saudara mangsa, minggu lalu.

Amir Ariffin, 49, yang berbaju jingga dengan seluar panjang hitam, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicaraka­n bagi pertuduhan sengaja menyebabka­n kecederaan parah selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Tiada sebarang pengakuan

Bagaimanap­un, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk faham bagi pertuduhan membunuh sejurus ia dibacakan.

Berdasarka­n pertuduhan pertama serta kedua, tertuduh didakwa membunuh Nurul Hanim Idris, 5, dan Muhammad Hafiz Idris, 2, di sebuah rumah di Kampung Tengah, Kuala Sungai, antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam pada 8 Januari lalu.

Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kecederaan parah terhadap Soberi Saad, 52, dengan menggunaka­n sebilah pedang pada masa, alamat serta tarikh sama seperti pertuduhan pertama dan kedua.

Tak tawar ikat jamin

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Nurul Rasyidah kemudian menetapkan 18 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah juga mengarahka­n tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan memandangk­an dia turut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilaksanak­an oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Waheda Abd Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media melaporkan pada 8 Januari lalu, dua beradik terbabit maut dengan kesan tetak pada belakang badan Nurul Hanim, manakala Muhammad Hafiz dikelar pada leher oleh seorang lelaki yang mengamuk di kampung berkenaan.

 ?? [FOTO AMRAN HAMID/BH] ?? Amir diiringi anggota polis dibawa ke Mahkamah Majistret Yan, semalam.
[FOTO AMRAN HAMID/BH] Amir diiringi anggota polis dibawa ke Mahkamah Majistret Yan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia