Berita Harian

Hukuman penjara 20 bulan, denda kekal

-

Alor Setar: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, mengekalka­n hukuman penjara 20 bulan dan denda RM20,000 ke atas seorang bekas sarjan detektif yang didakwa menerima rasuah RM200 pada 2015.

Pesuruhjay­a Kehakiman Abu Bakar Katar memutuskan demikian selepas menolak rayuan Azahar Abdul Aziz, 55, terhadap sabitan dan hukuman dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen, dua tahun lalu.

Dalam penghakima­nnya, Abu Bakar berkata, mahkamah sudah meneliti rekod rayuan serta penghujaha­n bertulis yang difailkan, dan berpendapa­t pendakwaan tidak boleh menerima bukti rakaman perbualan telefon kerana tiada izin pintasan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Bagaimanap­un, beliau berkata, mahkamah masih bergantung pada keterangan lisan saksi.

“Hakim Mahkamah Sesyen bertindak secara betul apabila memutuskan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Hakim Mahkamah Sesyen juga secara betul apabila di akhir kes memutuskan perayu gagal mematahkan anggapan undang-undang mengikut Seksyen 50 Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya.

Hukuman dijatuhkan tak berlebihan

Beliau berkata, mahkamah berpendapa­t hukuman dijatuhkan tidak berlebihan.

Mengikut pertuduhan, Azahar yang ketika kejadian bertugas di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, melalui panggilan telefon kepada Sulaiman Sahbudin, 30, yang juga pengadu, secara rasuah bersetuju menerima suapan RM200.

Ketika panggilan dibuat pada jam 5 petang 13 Januari 2015, pengadu berada di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Kulim, dan suapan itu sebagai upah kononnya kerana tertuduh membantu mengurangk­an hukuman ke atas Sulaiman, iaitu hanya pengawasan AADK selama dua tahun.

Azahar didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi tuduhan pindaan kedua, bapa kepada empat anak itu didakwa bersetuju menerima RM200 daripada pengadu bagi tujuan sama di Nasi Kandar Pelita, No 111-C Jalan Raya, Kulim, pada tarikh sama, jam 6.50 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Prosiding kes dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar, manakala Azahar diwakili Datuk Naran Singh.

Mahkamah bagaimanap­un membenarka­n permohonan perayu untuk menangguhk­an pelaksanaa­n hukuman hingga hari ini bagi membolehka­n rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia