Berita Harian

28 ditahan kes tuntutan palsu

-

Kuala Lumpur: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan masing-masing 25 individu di Sabah dan tiga di Perak membabitka­n pemalsuan dokumen serta tuntutan palsu, kelmarin.

Di Kota Kinabalu, 25 individu membabitka­n pemilik dan pengurus syarikat ditahan di Sabah bagi membantu siasatan berkaitan pemalsuan dokumen dan mengemukak­an penyata bank palsu bagi mendapatka­n tender Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dari 2016 hingga 2018.

Daripada jumlah itu, seramai 13 orang adalah pengurus syarikat kontraktor termasuk tiga wanita di daerah ini yang ditahan berhubung pemalsuan dokumen bagi mendapatka­n tender di JPNS.

Difahamkan, semua suspek berusia dalam lingkungan 30-an hingga 60-an itu ditahan di beberapa lokasi kelmarin, membabitka­n syarikat kontraktor dari Kota Kinabalu, Kota Belud, Kuala Penyu, Beaufort dan Ranau dengan nilai tender berjumlah RM6 juta.

Direman lima hari

Mereka direman lima hari mulai semalam bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukak­an dokumen palsu untuk mendapatka­n tender.

Perintah tahanan reman dikeluarka­n Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, semalam, manakala prosiding bagi mendapatka­n perintah reman itu dikendalik­an Pegawai Pendakwa SPRM, Faliq Basiruddin.

Di Tawau, lima orang direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan dokumen penyata bank, bertujuan mendapatka­n tender bernilai hampir RM9 juta.

Perintah reman dikeluarka­n Majistret Herlina Muse di Mahkamah Majistret Tawau.

Suspek membabitka­n tiga wanita dan dua lelaki berusia 35 hingga 65 tahun ditahan di pejabat SPRM Tawau dan beberapa lokasi lain antara jam 1.20 tengah hari hingga 9 malam kelmarin.

Kemuka penyata bank palsu

Difahamkan, semua suspek adalah pengurus dan pemilik empat syarikat yang mengemukak­an penyata bank palsu bagi mendapatka­n tender membekal makanan dimasak untuk empat sekolah menengah berasrama sekitar Tawau antara 2017 hingga 2018.

Sementara itu, masing-masing seorang ditahan di Sandakan dan empat di Keningau manakala Lahad Datu dua orang berkaitan kes sama.

Di Ipoh, SPRM menahan tiga individu termasuk seorang berjawatan penolong pengarah di Ibu Pejabat FELDA bagi membantu siasatan tuntutan palsu kerja pembinaan tembok penahan tanah runtuh di FELDA Trolak Selatan, Sungkai.

Turut ditahan ialah seorang kontraktor dan eksekutif teknikal sebuah syarikat pengurusan hartanah yang dilantik FELDA bagi memantau projek itu.

Kontraktor dan eksekutif teknikal yang ditahan semalam direman empat hari di Mahkamah Majistret Ipoh semalam, manakala pegawai kanan FELDA yang ditahan semalam dijangka direman hari ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia