Berita Harian

6 rakan, bapa saudara Syam Sado kena reman

Penahanan dipercayai bantu beri maklumat cari suspek utama

- Oleh Mohamed Basyir

Polis menahan reman enam rakan ‘Syam Sado’ dan seorang bapa saudaranya, yang menyaksika­n kontraktor pembinaan itu ditembak mati di kawasan parking Flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata semua tujuh lelaki yang berumur antara 20 hingga 48 tahun itu direman petang kelmarin sehingga 19 Januari ini, bagi membantu siasatan.

Katanya, empat daripada tujuh suspek itu juga didapati positif dadah ketika ujian air kencing dilakukan kelmarin.

“Kita percaya mereka boleh membantu memberi maklumat untuk kita mencari suspek utama yang terbabit dalam kejadian tembakan itu.

Motif pembunuhan berkaitan dadah

“Kita juga percaya ada unsur berkaitan dadah dalam motif pembunuhan ini. Kita akan siasat lebih mendalam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa, Mohammad Nazrulhisy­am Mohamed Meera, 27, maut ditembak di hadapan tujuh rakannya di kawasan parkir Flat MBPP, di sini.

Mohammad Nazrulhisy­am atau dikenali sebagai ‘Syam Sado’ yang ketika itu sedang berbual bersama rakan-rakannya, mati di tempat kejadian dengan kesan lima das tembakan di anggota badannya.

Mangsa ditembak pada jarak dekat oleh dua penunggang motosikal yang memakai pakaian dan topi keledar berpenutup penuh berwarna hitam.

Sementara itu, Che Zaimani berkata, kedua-dua suspek utama itu mengetahui sasaran mangsa mereka sebelum melepaskan tembakan.

Bagaimanap­un, beliau enggan mengesahka­n sama ada kedua-dua suspek utama itu adalah pembunuh upahan seperti khabar angin yang dilaporkan beberapa pihak.

CCTV tak berfungsi

“Kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat letak kereta itu tidak berfungsi dan kita akan melihat CCTV di kawasan sekitar untuk mengesan penjenayah terbabit,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk T Narensagar­an dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang baharu, berkuat kuasa semalam.

Narensagar­an menggantik­an Datuk Seri A Thaiveegan yang bersara wajib selepas lebih setahun memegang jawatan berkenaan.

Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang itu disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

 ??  ?? Keratan akhbar BH semalam.
Keratan akhbar BH semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia