Berita Harian

Warga asing dipercayai mangsa dera

-

Kuala Lumpur: Lelaki warga asing yang mayatnya ditemui di tepi jalan utama Ulu Yam menghala ke Batu Caves, Gombak, Ahad lalu, dipercayai didera hingga mati berikutan pelbagai kecederaan dikesan pada mangsa, termasuk jari dipotong.

Polis mengesahka­n kematian mangsa disebabkan pelbagai kecederaan pada tisu lembut badan berdasarka­n hasil bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata selain punca kematian, bedah siasat turut menemui beberapa kesan kecederaan lain pada badan.

“Pasukan perubatan mendapati dua anak jari kaki kanan dan satu anak jari kaki kiri dipotong, serta kesan jerut pada kedua-dua pergelanga­n kaki dan tangan mangsa.

“Yang turut ditemui kesan kecederaan pada lengan kiri dan abdomen serta perut dipercayai kesan bara api akibat objek panas, dan kecederaan pada kedua-dua tapak kaki akibat objek tumpul,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superinten­dan Rudy Abdullah, ketika dihubungi mengesahka­n punca kematian mayat dijumpai di bawah jejambat di Jalan Yew, Kuala Lumpur, sama dengan mayat ditemui di Ulu Yam, iaitu disebabkan pelbagai kecederaan pada tisu lembut mangsa.

BH sebelum ini melaporkan polis mengesahka­n dua mayat lelaki ditemui berasingan pada Ahad lalu itu mempunyai kaitan yang mana siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa adalah rakan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia