Berita Harian

Mohon ruang perbaiki diri

Nelydia Senrose harap tidak dibebani tekanan untuk segera berubah selepas kembali dari Tanah Suci Makkah

- Oleh Farihad Shalla Mahmud

Segala perasaan takut, resah dan debaran yang sebelum ini bersarang di sudut hati, lenyap serta-merta saat melihat Kaabah tersergam indah di depan mata. Tiada perasaan yang mampu digambarka­n pelakon Nelydia Senrose. Hilang semua katakata, sebaliknya titisan jernih yang mengalir di pipi jelas menggambar­kan betapa hatinya tersentuh apabila diberikan rezeki untuk menjejakka­n kaki di Tanah Suci Makkah.

“Sepanjang di sana, perasaan saya sangat tenang, malah langsung tidak terfikir mengenai kerja. Hilang segala masalah yang selama ini berserabut dalam fikiran.

“Celik saja mata, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah beribadat. Selalu saya terfikir, mengapa perasaan yang sama tidak saya rasai ketika berada di sini?

“Kali pertama melihat Kaabah, saya sebak. Jiwa saya tersentuh kerana sebelum ini, saya hanya mampu melihatnya di skrin televisyen dan sejadah.

“Tetapi, kali ini ia betul-betul tersergam di depan mata. Perasaan itu terlalu indah, malah sukar untuk saya gambarkan dengan perkataan,” kata Nelydia, mengimbau perjalanan menunaikan umrah di Tanah Suci bersama ibu dan kakaknya, Uqasha Senrose serta adik, Raysha Rizrose, hujung bulan lalu.

Rezeki tak terduga

Setiap individu lain dugaannya, namun bagi Nelydia, banyak pengalaman manis yang dilalui, sekali gus membuatnya mengagumi kebesaran Yang Maha Esa.

“Paling saya tidak boleh lupa, semua permintaan atau hajat, meskipun hanya terdetik di hati, ditunaikan Allah serta-merta.

“Pernah terjadi ketika sedang beriktikaf, kebetulan jumlah jemaah agak ramai. Saya tiba-tiba berasa haus sangat.

“Untuk meninggalk­an tempat sementara menanti masuk waktu solat, bimbang pula nanti perlu mencari lokasi lain.

“Lagipun, jemaah semakin ramai dan saya malas mahu bersesakse­sak. Walaupun sedang dahaga, saya tetap bertahan. Tidak sangka selepas menunaikan solat, tiba-tiba ada jemaah menawarkan segelas air. Saya bersyukur sangat ketika itu,” cerita pemilik nama lengkap, Nik Zaris Nelydia Nik Sen.

Pelakon berusia 24 tahun itu berkata, dia sekali lagi dikurniaka­n rezeki tidak terduga apabila melihat seorang jemaah dari Indonesia sedang menikmati tempe goreng.

“Melihat dia begitu berselera menikmatin­ya, terdetik di hati, sedapnya jika dapat menjamah bersama. Secara tiba-tiba, dia menghulurk­an makanan itu untuk saya jamah.

“Begitu juga ketika saya teringin untuk menikmati ayam goreng yang cukup popular di sana. Tibatiba, ada jemaah yang memberikan sedekah untuk saya nikmati bersama rombongan.

“Memang rezeki saya murah sepanjang berada di sana,” imbas Nelydia ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-40 kelahiran penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza di ibu negara, barubaru ini.

Cabaran istiqamah

Akur ramai yang menanti perubahan pada dirinya, pelakon Lafazkan

Kalimah Cintamu yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu mengakui, dia turut memasang niat suci itu.

Nelydia berkata, seiring kematangan usia, setiap manusia pasti ingin berubah ke arah kebaikan. Namun, dia memohon supaya orang ramai supaya tidak memberi tekanan untuk dirinya segera berubah.

“Saya juga tidak terkecuali mahu berubah ke arah yang lebih baik. Berhijrah memang mudah, tetapi untuk sentiasa istiqamah itu agak sukar.

“Justeru, beri saya masa untuk berubah secara perlahan-lahan. Hidayah itu milik Allah dan doakan yang baik-baik supaya urusan ke arah itu dipermudah­kan,” pintanya mengharap pengertian.

Rancang nikah tahun ini

Hadir ditemani kekasihnya yang cuma diperkenal­kan sebagai Hafiz, Nelydia berkata, mereka pernah merancang untuk menamatkan zaman solo pada tahun lalu.

Namun, disebabkan kesibukan dan halangan lain, hasrat murni itu terpaksa ditangguhk­an. Diajak berbicara mengenai perkara itu, Nelydia berkata, jika segala perancanga­n berjalan lancar, dia ingin menamatkan zaman solonya pada tahun ini.

“Saya akui, ketika di Makkah, memang saya berdoa supaya dipermudah­kan dalam soal jodoh. Malah, selepas pulang daripada umrah juga, saya tetap mengharapk­an diberi petunjuk dalam soal itu.

“Sepatutnya, perancanga­n untuk berkahwin dibuat pada tahun lalu. Bagaimanap­un, berikutan sibuk dengan urusan kerja, selain ada saja halangan menjelma, niat murni itu tertangguh.

“Saya banyak belajar daripada pengalaman. Selepas ini, hanya apabila 80 peratus persiapan sudah siap dilakukan, baru saya bersedia untuk mengumumka­nnya. InsyaAllah, dalam tahun ini juga,” katanya yang mula menceburka­n diri dalam dunia lakonan ketika berusia 13 tahun.

Ralat lepaskan tawaran Nur 2

Sebelum ini, pelakon yang mula menyerlah selepas membintang­i drama, Setia Hujung Nyawa mengumumka­n, terpaksa menolak tawaran memegang watak Juita dalam drama Nur 2 yang sudah memulakan penggambar­annya. Mengulas lanjut perkara itu, Nelydia mengakui, agak ralat dan terkilan kerana tidak dapat membawakan watak yang disifatkan­nya sebagai mencabar.

“Saya akui, memang teringin untuk membawa watak itu, tetapi selepas berfikir semasak-masaknya, saya terpaksa lepaskan watak itu.

“Bukan saja disebabkan masa yang tidak sesuai, saya juga perlu mengambil kira situasi saya yang baru pulang dari Tanah Suci.

“Watak Juita sangat berani, bukan saja dari segi karakter, tetapi juga penampilan. Terus terang, saya memang belum bersedia untuk watak itu. Saya tak mahu merosakkan skrip yang sudah ditulis cantik hanya kerana tidak mampu melunaskan­nya.

“Mujur pengarah drama itu, abang Shahruleza­d Mohameddin memahami situasi saya. Insya-allah, jika ada rezeki pada masa depan dan saya sudah bersedia, saya tidak kisah membawakan watak yang sama jika ditawarkan,” katanya.

Saya juga tidak terkecuali mahu berubah ke arah yang lebih baik. Berhijrah memang mudah, tetapi untuk sentiasa istiqamah itu agak sukar. Justeru, beri saya masa untuk berubah secara perlahan-lahan”

 ??  ??
 ?? Foto: Amir Naufal Photograph­y (@amirnaufal­photograph­y) Busana: Ezuwan Ismail (@ezuwanisma­il) ??
Foto: Amir Naufal Photograph­y (@amirnaufal­photograph­y) Busana: Ezuwan Ismail (@ezuwanisma­il)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia