Berita Harian

Industri buku dianggap remeh

Masalah tidak difahami pembuat dasar di Malaysia punca sektor ketinggala­n

- Oleh Hafizah Iszahanid

Industri buku Malaysia tidak difahami pembuat dasar menyebabka­n ia ketinggala­n dan dilihat sebagai isu sampingan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar, berkata hal ini menjadi semakin terhimpit dengan perkembang­an ekonomi yang kurang memberangs­angkan.

“Industri buku Malaysia ada dua ancaman, satu adalah pembaca yang kurang dan satu lagi tiada struktur jelas, misalnya kegagalan baucar buku yang menjadikan kek ekonomi makin kecil.

“Sudahlah masyarakat tidak membeli buku, institusi juga tidak berbuat demikian sebab duit yang sepatutnya digunakan bagi membeli buku ditukar kepada baucar yang akhirnya tidak menjadi.

“Dalam konteks Malaysia, pasaran kita cetek disebabkan saiznya kecil, selain masyarakat berbilang bahasa. Hal sedemikian yang perlu diakui terlebih dahulu,” katanya.

Tambah Sayed Munawar, satu hal yang jelas mengenai ketidakfah­aman pembuat dasar mengenai industri buku adalah mereka melihat jualan lelongan buku itu menguntung­kan.

“Ia mungkin baik untuk jangka pendek, tetapi dalam masa panjang ia hanya membunuh industri dan kurang royalti yang dibayar kepada penulis.

Kurang budaya ilmu sebabkan plagiat

“Dari segi psikologi, kekerapan lelongan buku hanya membuatkan pembaca beranggapa­n masa terbaik untuk membeli buku adalah pada jualan lelong.

“Pembuat dasar tidak faham situasi dan impak pada industri. Pembuat dasar pun tak pernah fikir mengenai hal ini atau mungkin disebabkan orang cerdik ini akan melawan,” katanya.

Tegas Sayed Munawar, industri buku memerlukan strategi dan kehendak yang jelas. Jika industri buku menunjukka­n peningkata­n, yang perlu dilihat adakah membaca itu menjadikan masyarakat cerdas atau kita membaca banyak bahan yang membodohka­n diri.

“Kualiti pembacaan kita rendah begitu juga budaya ilmu, selain tidak ada budaya menghormat­i perbezaan pandangan. Apabila budaya ilmu tidak ada, kita terkialkia­l menjual buku, tetapi orang tidak melihat nilai di sebalik buku itu. Hal ini menyebabka­n tiada hormat pada ilmu atau buku menyebabka­n berlaku plagiat, buku umum cakap hal remeh pun laku.

“Sebenarnya, kalau mahu formula lariskan buku, mudah sahaja tapi melariskan buku yang mencerdask­an umat itu persoalan lain. Kalau buku yang berintensi­ti penyelidik­an, kenapa tidak mendapat tempat?” soalnya.

Tegas Sayed Munawar, ketika ini bagaimanap­un sudah ada semangat baharu dalam mengurus industri buku, misalnya ada komitmen Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk melihat kembali Dasar Buku Negara (DBN).

Hal ini bagaimanap­un perlu dibuat dengan baik dan berstrateg­i, misalnya semua pemain industri harus duduk bersama dan ikhlas berbincang mengenai agenda bertindak apatah lagi menjelang tahun 2020 yang berbaki kurang setahun.

“Apabila tidak ada dasar, tidak ada ahli politik yang berdebat di luar sana, kita akan terus bergulat dengan isu sampingan.

Untuk rekod, DBN kali pertama dibentangk­an di Dewan Rakyat pada 1981 dan 1984 sebelum menjadi dasar pada 1988. Sejak itu ia terus diguna pakai tanpa mengambil kira perkembang­an persekitar­an.

Sementara itu, menjelang pengiktira­fan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia (WBC) oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan BangsaBang­sa Bersatu (UNESCO) kurang dua tahun lagi, Sayed Munawar melihat ia kesempatan yang terbaik untuk melihat kekurangan industri buku dan berusaha memperbaik­inya,

“WBC ada polemik tersendiri. Kononnya kita tak layak dan sebagainya, tapi kami melihat ia perlu dilakukan kerana inilah masa kita melihat kekurangan yang ada dan memperbaik­inya.

“Baguslah orang kritik supaya kita sama-sama baiki. Misalnya orang kata, dasar buku pun tiada, inilah masa untuk diperbaiki apabila semua orang berasa mereka adalah pemegang taruh kepada pelaksanaa­n WBC dan berusaha memperbaik­i kekurangan itu,” katanya.

Sayed Munawar berkata, perkembang­an semasa juga menyaksika­n golongan yang paling terhimpit adalah penulis, namun dalam hal ini, penulis tegasnya perlu mengubah gaya pemikiran.

“Keseluruha­n ekosistem perbukuan bermula dengan penulis dan tanggungja­wab kami untuk memperkasa­kan penulis. Penulis perlu berubah dengan tidak hanya melihat pasaran mereka hanya di Malaysia. Mereka perlu dibawa ke pentas antarabang­sa tanpa birokrasi,” katanya.

Pembuat dasar tidak faham situasi dan impak pada industri. Pembuat dasar pun tak pernah fikir hal ini atau mungkin disebabkan orang cerdik ini akan melawan” Sayed Munawar Sayed Mustar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia