Berita Harian

18 pemain Perlis tagih tunggakan gaji

-

Kangar: Seramai 18 pemain Perlis yang beraksi di Liga FAM musim lalu menuntut penjelasan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berhubung status bayaran baki gaji tertunggak melebihi RM400,000 pada 2018 yang masih belum dibayar.

Malah, status mereka sebagai pemain Perlis Northern Lions 2 (PNL 2) turut menjadi tanda tanya kerana sudah hampir dua minggu tidak menyertai latihan kendalian Hamizar Hamzah, berikutan skuad itu kini berpangkal­an di Kuala Lumpur.

Wakil 18 pemain itu, Fahmi Izzarin Mustafa, 24, berkata, mereka tidak dapat menghadiri latihan ke Kuala Lumpur kerana kesempitan wang dan belum menerima sebarang bayaran tunggakan mahupun gaji musim ini daripada PFA.

“Mengikut kontrak yang ditandatan­gani kami, gaji pertama akan diperoleh bersama bayaran tunggakan gaji musim lalu antara 27 Disember 2018 sehingga 7 Januari lalu.

“Bagaimanap­un kami tidak menerima sebarang bayaran sepanjang tempoh itu dan diminta melapor diri ke kem latihan di Kuala Lumpur pada 2 Januari lalu dengan menggunaka­n bajet sendiri, termasuk untuk kos penginapan.

“Kami tidak mampu kerana tiada wang untuk menyewa rumah. Menerusi maklumat yang kami terima di Facebook rasmi PFA, PNL 2 kini seolah-olah dibarisi pemain lain. Bagaimana pula dengan kami yang sudah menandatan­gani kontrak tahun lalu?” katanya, kelmarin.

PFA didakwa cuba langgar perjanjian

Rungutan itu turut disuarakan oleh kapten skuad PNL 2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman, 30, apabila mendakwa PFA dilihat cuba melanggar perjanjian yang sudah ditandatan­gani antara mereka sebelum ini.

“Pengurusan seakan-akan tidak mahu membayar tunggakan gaji kami dengan memberikan pelbagai alasan.

“Ada antara kami menyara hidup sebagai nelayan serta bekerja kampung dan lebih membimbang­kan kami, pengurusan tidak mahu bersemuka setiap kali kami cuba bangkitkan isu ini di dalam Whatsapp,” katanya.

Ezzrul Ikmanizar berkata, mereka tidak berniat untuk menjatuhka­n kredibilit­i pengurusan PFA yang baharu, namun pada masa yang sama hak mereka sebagai pemain perlu diutamakan.

“Kami sudah tidak sanggup dipermaink­an lagi, ada antara kami sudah lima bulan tidak melunaskan ansuran bulanan kereta dan berharap pengurusan PFA dengarlah rintihan kami ini,” katanya.

PFA yang diterajui Presiden baharu, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie musim ini dilihat berbelanja besar selepas mengikat beberapa nama besar seperti Safee Sali, Badhri Radzi, Khyril Muhymeen Zambri, Azmi Muslim, Azmizi Azmi dan Amirizdwan Taj.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia