Berita Harian

‘Siapa lebih baik, akan terpilih’

-

Kuala Lumpur: “Siapa lebih baik, maka mereka akan terpilih.” Itu pendekatan yang digunakan pengendali skuad bawah 19 tahun negara (B-19), Bojan Hodak selepas memanggil 28 pemain bagi latihan skuad kebangsaan pada minggu ini dengan mereka akan digantikan dengan jumlah sama bagi panggilan minggu hadapan.

Dengan skuad B-19 kini memiliki seramai 56 orang dalam senarai, Hodak menegaskan hanya mereka yang menepati kualiti akan terus kekal berada dalam pasukan itu untuk program akan datang.

“Ini adalah generasi yang dibarisi muka baharu di mana empat orang sahaja yang dikekalkan daripada latihan pusat tahun lalu. Tidak ramai daripada mereka yang beraksi dalam Piala Belia jadi kita akan mengadakan pemilihan untuk membentuk skuad pada masa akan datang.

Penggilira­n pemain

“Kita akan melakukan penggilira­n pemain dan memberi peluang kepada semua pemain. Selepas itu kita akan menilai berapa ramai yang boleh menyertai program kita selepas ini,” kata Hodak ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-19 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Kehadiran penuh dapat disaksikan apabila semua 28 pemain menghadiri latihan yang memasuki hari pertama itu.

Mengulas lanjut mengenai latihan pusat yang akan berlangsun­g selama dua minggu itu, Hodak menjelaska­n tiga perlawanan persahabat­an sudah diatur bagi menguji kemampu- an pemain berdepan apabila pasukan yang lebih baik.

“Kita akan menentang Johor Darul Ta’zim II (JDTII) pada 18 Januari sebelum dua lagi pasukan yang sedang dalam pengesahan untuk aksi pada 26 dan 28 Januari ini.

“Dengan tujuh bulan lagi sebelum aksi Kejuaraan B-19 AFF 2019 jadi saya perlu mencari 23 pemain terbaik untuk dibawa ke kejohanan terbabit,” katanya.

Sebagai rekod, kalendar skuad B-19 dilihat agak sibuk pada tahun ini yang menyaksika­n mereka akan bersaing pada Piala Sanix di Jepun, Mac ini.

Selepas itu, mereka akan mengharung­i Kejuaraan B-19 AFF 2019 pada Julai sebelum beraksi dalam Kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) 2020 pada September.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia