Berita Harian

Kerajaan belum terima laporan rasmi

-

Putrajaya: Kerajaan belum menerima laporan rasmi berhubung isu paparan lambang salib di Grace Residence, Jelutong, Pulau Pinang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata beliau sudah berhubung dengan mufti Pulau Pinang dan kerajaan negeri mengenai perkara itu.

Sambil berharap laporan berkenaan diterima secepat mungkin, beliau berkata, isu terbabit perlu diteliti sama ada dilakukan dengan niat menimbulka­n keresahan dan sensitivit­i agama atau hanya sekadar struktur.

“Kadang-kala kita tengok struktur itu nampak macam salib kalau dipandang dari jauh atau sisi atas, malah kalau kita depa tangan ketika berdiri, itu pun boleh dianggap sebagai salib.

“Isunya di sini, adakah ia dilakukan dengan niat atau sebaliknya. Saya difahamkan kalau dipasang lampu (pada bangunan itu), ia bukan tanda salib tapi perkataan bahasa Mandarin yang membawa makna ‘ong’ (tuah).

“Saya tidak tahu, itu kata orang...saya belum menerima laporan rasmi,” katanya selepas melancarka­n Skim Bantuan Khas Kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) Baitulmal oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutua­n (MAIWP) di sini, semalam.

Sebelum ini, heboh di media sosial mengenai kewujudan lambang salib di Jelutong, yang dipamerkan pada sebuah bangunan pangsapuri baharu di kawasan berkenaan.

Perbincang­an hangat netizen

Perkara itu menjadi perbincang­an hangat netizen, malah turut digelar sebagai ‘lambang salib terbesar di dunia’.

Difahamkan, lambang salib itu tidak dipamerkan dalam bentuk fizikal tetapi adalah pancaran cahaya daripada reka bentuk bangunan berkenaan.

Mujahid turut menasihatk­an semua pihak termasuk kontraktor dan pemaju supaya mengambil kira kesan jangka panjang dalam menghasilk­an sesuatu struktur bangunan supaya tidak menimbulka­n kebencian dan kerapuhan hubungan antara kaum serta agama.

Mengenai mesyuarat Kabinet semalam, Mujahid berkata, ia antara lain membincang­kan undang-undang baharu berkaitan isu perpaduan, sensitivit­i kaum dan agama.

“Isu ini dulu diletakkan di bawah Akta Hasutan dan akta itu akan diganti supaya tidak mudah disalah gunakan mana-mana pihak,” katanya.

Isu ini perlu diteliti sama ada dilakukan dengan niat timbulkan keresahan dan sensitivit­i agama atau hanya sekadar struktur” Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia