Berita Harian

Banjir kilat, tanah runtuh akibat hujan lebat

-

Hujan lebat sejak awal pagi semalam mengakibat­kan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air dan berlaku tanah runtuh.

Di Kampung Pertanian Garinono, Batu 25, banjir kilat melanda kampung itu bermula kira-kira jam 6.30 pagi, menyebabka­n beberapa rumah dinaiki air.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan, Anddre Andrew, berkata 23 mangsa termasuk seorang bayi dipindahka­n dari tiga rumah yang dinaiki air ke pusat penempatan sementara masjid kampung terbabit kira-kira jam 11 pagi semalam.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat itu pada jam 6.57 pagi dan menghantar 11 anggota ke lokasi terbabit bagi membantu mengeluark­an penduduk.

Air semakin surut

“Berdasarka­n laporan anggota di lokasi, banjir semakin surut, namun mangsa masih berada di pusat penempatan susulan rumah mereka masih dilimpahi air. Operasi sudah ditamatkan selepas pemantauan mendapati air semakin surut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beberapa kawasan lain dilaporkan turut dinaiki air termasuk Poh Hing, Kampung Gas di Batu Sapi, namun difahamkan tiada pemindahan kerana air semakin surut.

Anddre berkata, pemantauan turut dilakukan di Jalan Batu Sapi susulan laporan tanah runtuh di kawasan berkenaan kira-kira jam 9.45 pagi.

Katanya, laluan terbabit ditutup sementara operasi pembersiha­n jalan dilakukan oleh konsesi Jabatan Kerja Raya, namun laluan berkenaan sudah boleh dilalui kira-kira jam 10.30 pagi.

Terdahulu, banjir kilat dilaporkan berlaku di beberapa kawasan susulan hujan lebat berterusan.

Di Kampung Memanjang, air dari Sungai Memanjang dilaporkan naik pada jam 4.55 pagi dengan pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dihantar ke lokasi untuk melakukan pemantauan.

 ??  ?? Banjir kilat landa beberapa kawasan di Sandakan susulan hujan lebat sejak awal pagi.
Banjir kilat landa beberapa kawasan di Sandakan susulan hujan lebat sejak awal pagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia