Berita Harian

JSJK kenal pasti ciri individu dijadikan keldai akaun

Sindiket penipuan sasar orang lembam, penagih, pesara, penganggur

- Oleh Hasbi Sidek

Orang lembam, penagih dadah, pesara dan penganggur antara ciri individu yang dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menjadi keldai akaun untuk sindiket penipuan.

Dapatan itu hasil Ops Mule Account yang dijalankan serentak di seluruh negara selama tiga minggu bermula 10 Disember lalu yang berjaya menahan 145 keldai akaun berusia 19 hingga 63 tahun.

Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata Ops Mule Account itu menyasarka­n pemilik akaun yang dikesan terbabit dengan jenayah telekomuni­kasi, perbankan dalam talian, macau scam dan pinjaman tidak wujud.

Menerusi operasi ini, katanya, polis menahan 145 individu, terdiri daripada 90 lelaki dan 55 wanita yang berusia dari 19 hingga 63 tahun.

“Hasil soal siasat, kami mendapati antara ciri individu yang disasarkan menjadi keldai akaun ialah mereka yang mempunyai rekod lampau dengan bank, individu yang sedang mencari pekerjaan, penagih dadah, tiada pekerjaan tetap, suri rumah atau pesara, penuntut kolej, orang kelainan upaya (OKU) lembam dan pekerja sosial.

145 individu ditahan

“Golongan ini dijadikan sasaran berikutan keinginan mereka mendapatka­n wang dengan senang serta pantas selain tidak mempunyai pendapatan tetap, terdesak mahu menggunaka­n wang dan terpedaya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, di sini, semalam.

Saiful Azly berkata, antara alasan mereka menjadi keldai akaun adalah kerana pernah membuat pinjaman dengan along, berkenalan dengan individu tidak dikenali melalui laman sosial, urus niaga dalam talian, kehilangan dompet yang mempunyai maklumat bank, terbabit urus niaga sewa kad ATM dan diperdaya sindiket.

“Justeru, saya meminta kepada semua pemilik akaun agar tidak terjebak menjadi keldai akaun dengan membenarka­n individu lain menggunaka­n akaun anda untuk memasukkan duit dalam jumlah yang banyak sebelum memindah keluar wang berkenaan.

“Pihak bank boleh mengesan transaksi berkenaan. Pemilik akaun yang didapati terbabit boleh disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 414 KK, Seksyen 424 KK, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil serta Pelanggara­n Terma dan Syarat Pembukaan Akaun Bank,” katanya.

Saya meminta kepada pemilik akaun tidak terjebak menjadi keldai akaun dengan membenarka­n individu lain menggunaka­n akaun anda” Saiful Azly Kamaruddin, Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia