Berita Harian

Mitos jemur bayi jaundis

Guna kaedah terbaik elak tahap bilirubin jejaskan pendengara­n, kerosakan otak

- Oleh Osman Lisut

Bayi selepas dilahirkan menghidap penyakit kuning atau jaundis adalah gejala biasa. Sudah pasti, bagi ibu bapa muda yang tiada pengalaman, keadaan itu amat membimbang­kan.

Lantas banyak petua orang tua dicuba. Contohnya bayi dijemur di bawah cahaya matahari pagi, memberi minum susu kambing, air putih untuk ‘menyingkir­kan’ jaundis dan macam-macam bagi menghilang­kan penyakit itu.

Adakah kaedah itu mampu merawat bayi berkenaan?

Sebenarnya ramai yang salah faham mengenai kaedah rawatan itu sedangkan ia tidak dibuktikan melalui klinikal.

Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata mendedahka­n bayi yang baharu lahir pada cahaya matahari tidak berkesan dan mungkin berbahaya.

Katanya, bayi baru lahir boleh mengalami dehidrasi apabila diletakkan di bawah matahari, menjadikan keadaannya semakin teruk. Sinaran matahari dan sinar ultra violet (UV) boleh menyebabka­n kulit terbakar dan menyakitka­n kulit bayi kerana masih nipis.

“Begitu juga meminum susu kambing tiada kajian klinikal yang mengesahka­n berkesan untuk penyakit berkenaan.

“Malah, sistem penghadama­n dan hati bayi baru lahir belum matang dan tidak dapat menghadamk­an susu kambing atau lembu, iaitu kandungan nutriennya tidak memenuhi keperluan bayi baru lahir, berbanding susu ibu,” katanya kepada BH.

Pelbagai mitos

Dr Zulkifli berkata, mitos lain sering dilakukan ialah memberikan air untuk ‘menyingkir­kan’ jaundis.

Kadangkala, bayi baru lahir diberikan susu ibu secara eksklusif mungkin mengalami jaundis yang lebih lama, tetapi ia bukan alasan untuk berhenti memberikan susu ibu atau air biasa.

“Asalkan ibu tidak mengambil ubatan tradisiona­l, bayi itu sihat dan bertambah berat badan. Pemberian susu ibu secara eksklusif perlu diteruskan, malah disyorkan sekurang-kurangnya lapan hingga 12 kali sehari pada hari pertama kelahiran bagi menangani jaundis,” katanya.

Bayi baru lahir akan berulang mendapat jaundis lagi juga anggapan tidak benar.

“Kebanyakan kes jaundis bayi baru lahir bersifat fisiologi dan hanya berlaku pada beberapa hari terawal bayi. Jaundis yang dialami ketika dewasa tiada kaitan dengan jaundis ketika bayi,” katanya.

Punca jaundis

Beliau menolak punca jaundis adalah kesan daripada pengambila­n makanan, ubat-ubatan, keadaan ketika hamil atau keturunan ibu.

Sebaliknya, beliau berkata, kajian mendapati tiada sebarang kaitan, begitu juga tidak mungkin diwarisi daripada ibu kepada anak.

“Ketidaksep­adanan jenis darah antara ibu dan bayi (iaitu apabila ibu mempunyai darah Rh-negatif dan bayi mempunyai darah Rhpositif; antibodi ibu memasuki darah bayi menerusi plasenta dan memusnahka­n sel darah merahnya, lalu menghasilk­an bilirubin).

“Ibu yang berdarah kumpulan O+ dan bayi yang darahnya kumpulan lain juga boleh menyebabka­n jaundis.

“Bayi yang kekurangan glukos6-fosfat dehidrogen­ase (G6PD), jangkitan ketika lahir (contohnya rubella, sifilis) juga boleh menyebabka­n jaundis,” katanya.

Cegah sebelum serius

Dr Zulkifli berkata, sekiranya bayi jaundis tidak diurus atau dirawat dengan baik ia boleh membawa kepada komplikasi serius.

“Penting ibu bapa berunding dengan pakar pediatrik bagi mengawasi jaundis yang dialami pada beberapa hari terawal selepas kelahiran. Maklumkan keraguan kepada doktor bagi mengelakka­n maklumat tidak tepat berkaitan jaundis,” katanya.

Beliau menyaranka­n ibu bapa sentiasa memantau keadaan bayi dan mengawasi tahap bilirubin bagi mengelak semakin teruk.

“Tahap bilirubin yang tinggi boleh menjejaska­n pendengara­n dan menyebabka­n kernikteru­s, sejenis kerosakan otak. Dapatkan nasihat doktor dengan segera jika situasi itu berlaku,” katanya.

Beliau berkata, penyakit kuning berlaku apabila keadaan kulit dan bahagian putih mata bayi menjadi kekuningan, akibat kandungan bilirubin yang tinggi dalam darah.

“Bilirubin ialah bahan kuning yang biasanya terhasil apabila sel darah merah dipecahkan. Kemudian, bilirubin dimetaboli­smekan oleh hati untuk disingkirk­an daripada badan.

“Jika bayi yang baru lahir kelihatan kuning, pakar pediatrik akan melakukan ujian darah untuk menentukan tahap bilirubin. Jika ia tidak serius, anda boleh terus menjaganya seperti biasa dan dinasihatk­an untuk menyusukan­nya dengan kerap.

“Ini menggalakk­an pergerakan usus yang kerap bagi menyingkir­kan bilirubin menerusi najis. Penilaian berjadual dengan doktor juga diperlukan,” katanya.

Dr Zulkifli berkata, rawatan yang sering diberi ialah fototerapi, di mana bayi baru lahir diletakkan di bawah cahaya biru khas, membantu memecahkan lebihan bilirubin.

“Terapi ini juga boleh dilakukan di rumah dengan alat yang sama. Dalam kes yang serius, transfusi pertukaran darah mungkin diperlukan untuk mencegah kerosakan otak,” katanya.

Bayi baru lahir boleh mengalami dehidrasi apabila diletakkan di bawah matahari, menjadikan keadaannya semakin teruk. Sinaran matahari dan sinar ultra violet (UV) boleh menyebabka­n kulit terbakar dan menyakitka­n kulit bayi kerana masih nipis” Dr Zulkifli Ismail,

Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? Rawatan fototerapi membantu memecahkan lebihan bilirubin bagi merawat bayi jaundis.
Rawatan fototerapi membantu memecahkan lebihan bilirubin bagi merawat bayi jaundis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia