Berita Harian

Ibu tunggal jadi ketua keluarga

Majoriti wanita di Kem Enma kematian suami akibat susulan perang, hilang

-

Kem Enma yang didiami hampir 250 keluarga pelarian Syria dekat Akkar di sini, kelihatan daif pada binaan khemah penempatan mereka kerana kebanyakan­nya diperbuat daripada kanvas terpakai dan bahan kitar semula.

Namun, di sebalik kedaifan binaan khemah itu, kem terbabit yang lebih 60 peratus ketua keluargany­a adalah ibu tunggal, diakui antara penempatan pelarian di Lubnan yang keadaan persekitar­annya bersih dan teratur.

Kebanyakan wanita terbabit menjadi ibu tunggal akibat kematian suami susulan perang melanda Syria atau hilang tanpa dapat dikesan.

Kem atas tanah persendiri­an itu didiami pelarian sejak enam tahun lalu dengan setiap keluarga perlu membayar sewa tapak khemah sebanyak AS$17 sebulan, terletak di kawasan paling utara di Lubnan dan menjadi antara penempatan di bawah pengurusan Union of Relief and Developmen­t Associatio­n (URDA).

Saya berpeluang meninjau kem berkenaan yang terletak kira-kira 180 kilometer selepas menempuh perjalanan selama tiga jam dari Lembah Beqaa ketika kami menghantar bekalan bantuan minyak tanah kepada keluarga pelarian di sana seharian kelmarin.

Persekitar­an khemah bersih

Ketika menyusuri lorong di antara khemah penempatan itu, saya dapati kawasan persekitar­annya cukup bersih, apabila tiada sampah sarap dibuang sesuka hati seperti penempatan lain yang pernah dilawati sebelum ini.

Malah sisa makanan dari setiap khemah pelarian dikumpulka­n dalam bekas di kotak pertanian mereka untuk dijadikan baja kompos, manakala serpihan roti dikeringka­n untuk makanan merpati.

Melewati sebuah khemah, saya dan rakan sukarelawa­n terhidu keharuman biskut yang dibakar sebelum seorang wanita yang berada di dalamnya menjemput sukarelawa­n wanita masuk ke dalam khemahnya.

Dalam khemah itu, ibu tunggal kepada tiga anak, Sara Khaled, 30, sedang membakar biskut berintikan lebihan kurma yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengagihka­n makanan kepada keluarga pelarian.

Kami menerima pelawaanny­a untuk menikmati kesegaran biskut yang baru dibakar dengan perasaan berbelah bahagi kerana menyangka juadah itu untuk jualan sebelum dimaklumka­n semuanya hanya untuk dikongsi bersama-sama jiran yang mendiami khemah sekitarnya termasuk tetamu seperti kami.

“Bila ada lebihan makanan yang boleh dijadikan biskut, saya akan sediakan bersama beberapa rakan di sini sebelum dinikmati bersama-sama,” katanya.

Di beberapa lokasi lain sekitar kem pelarian itu, saya dapat melihat beberapa kelompok golongan ibu bersantai di luar khemah ekoran cuaca cerah sambil berbual dan menikmati hidangan teh.

Agih sumbangan minyak tanah

Dalam kunjungan ke kem berkenaan, kami membantu mengagihka­n sumbangan 20 liter minyak tanah sumbangan rakyat Malaysia menerusi Aman Palestin kepada 250 keluarga pelarian di situ.

Kenyataan bahawa ramai ibu tunggal mendiami kem terbabit, jelas terbukti apabila barisan wanita selaku ketua keluarga yang menanti untuk menerima agihan, lebih panjang daripada lelaki.

Terdahulu, Pengurus URDA Lubnan Utara, Abdul Rahman Darwush, ketika meraikan kami di kem berkenaan, berkata secara purata setiap keluarga pelarian di situ mempunyai lima hingga 10 ahli keluarga, tetapi tidak menerima bantuan kewangan bulanan daripada agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Mereka bergantung kepada bantuan daripada (NGO) tempatan dan antarabang­sa yang menyokong usaha URDA membela nasib pelarian di sini.

“Setiap khemah di sini dilengkapi kemudahan panel solar yang menyediaka­n bekalan elektrik bagi menghidupk­an tiga mentol lampu LED yang dipasang di bumbung khemah,” katanya yang turut memberi taklimat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Sufian Awang Piut.

Kawasan penempatan itu juga dilengkapi kemudahan tandas, ruang mandi dan membasuh secara berpusat, mengikut jantina yang turut dilengkapi kemudahan pemanas air yang menggunaka­n kemudahan solar dibangunka­n NGO antarabang­sa.

Abdul Rahman berkata, URDA juga membangunk­an deretan 13 kios dengan modal kepada keluarga pelarian yang daif untuk berniaga dengan keuntungan membolehka­n mereka berusaha menyara diri.

Antara perniagaan dibuka di situ termasuk kedai runcit, gunting rambut, bakeri, jahitan, pusat siber dan bengkel latihan.

Selepas dua hari mempunyai program bantuan di luar Lembah Beqaa, semalam saya mempunyai program bersama-sama anak kecil sekitar kem Al-awdah yang didiami serta kem Yasamin yang terletak bersebelah­an.

Ikuti laporan selanjutny­a dalam akhbar ini esok.

Secara purata setiap keluarga pelarian di situ mempunyai lima hingga 10 ahli keluarga, tetapi tidak menerima bantuan kewangan bulanan daripada agensi di bawah PBB. Mereka bergantung bantuan daripada NGO tempatan dan antarabang­sa yang menyokong usaha URDA membela nasib pelarian di sini” Abdul Rahman Darwush, Pengurus URDA Lubnan Utara

 ??  ?? Golongan ibu keluarga pelarian menerima agihan minyak tanah Palestin di Kem Enma dekat Akkar di utara Lubnan, kelmarin. daripada sukarelawa­n Aman
Golongan ibu keluarga pelarian menerima agihan minyak tanah Palestin di Kem Enma dekat Akkar di utara Lubnan, kelmarin. daripada sukarelawa­n Aman
 ??  ??
 ??  ?? Sara (dua dari kanan) berkongsi biskut yang dibakarnya bersama-sama sukarelawa­n Aman Palestin yang mengunjung­i Kem Enma.
Sara (dua dari kanan) berkongsi biskut yang dibakarnya bersama-sama sukarelawa­n Aman Palestin yang mengunjung­i Kem Enma.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia