Berita Harian

SC siasat tatalaku juruaudit kes 1MDB

Semakan masih dilakukan sebelum dinilai Lembaga Pemantauan Audit untuk tindakan lanjut

- Oleh Fazrik Kamarudin

Suruhanjay­a Sekuriti Malaysia (SC) mengesahka­n menyiasat tatalaku juruaudit yang mempunyai kaitan dengan audit 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumka­n jurucakap SC tanpa mendedahka­n nama atau butiran lanjut juruaudit berkenaan.

“Kita masih melakukan semakan terhadap tatalaku juruaudit yang mempunyai kaitan dengan audit 1MDB. Sebaik saja proses semakan lengkap, SC dan Lembaga Pemantauan Audit akan menilai hasil semakan itu dan seterusnya satu tindakan yang sesuai akan dipertimba­ngkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, South China Morning Post (SCMP) melaporkan dua firma audit terbesar dunia, Deloitte dan KPMG, kini disiasat oleh SC berhubung pembabitan mereka dalam skandal 1MDB.

Menurut laporan itu, SC mahu melihat sama ada kedua-dua firma terbabit berperanan membantu dan bersekongk­ol dalam skandal itu atau berlaku cuai.

Runding ‘penyelesai­an’ terbaik

“Akauntan mereka mesti dipertangg­ungjawabka­n,” lapor SCMP itu dengan memetik sumber.

Sumber juga memberitah­u SCMP bahawa mereka percaya KPMG mungkin sedang merundingk­an ‘penyelesai­an’ dengan pihak berkuasa Malaysia.

SC boleh melarang mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan salah laku dari pengaudita­n dan juga mengenakan denda sehingga RM500,000 walaupun bukti konspirasi jenayah akan mengakibat­kan hukuman yang lebih serius.

Menurut laporan itu lagi, Deloitte dan KPMG enggan memberi komen.

KPMG bertanggun­gjawab ke atas akaun 1MDB bagi tahun 2010, 2011 dan 2012, manakala Deloitte mengurus penyata kewangan syarikat itu bagi tahun 2013 dan 2014 selepas perkhidmat­an KPMG ditamatkan kerana didakwa meminta maklumat lanjut mengenai aset 1MDB.

Pada 2016, Deloitte menarik diri sewaktu skandal kewangan firma pelaburan negara yang dilanda hutang itu mendapat perhatian media di seluruh dunia.

Penarikan diri Deloitte turut dibuat selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan tuntutan mahkamah untuk mendapatka­n semula aset yang dibeli menggunaka­n dana 1MDB.

Tiada akaun yang difailkan sejak 2015 walaupun Parker Randall dilantik bagi menggantik­an Deloitte untuk mengaudit penyata kewangan 1MDB dan anak syarikatny­a.

Kita masih melakukan semakan terhadap tatalaku juruaudit yang mempunyai kaitan dengan audit 1MDB” Jurucakap Suruhanjay­a Sekuriti Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia