Berita Harian

Budaya ‘troll’ dan kemusnahan nilai moral

-

Kebelakang­an ini perkataan ‘troll’ tiba-tiba menjadi buah mulut masyarakat. Di alam maya dan media sosial mereka menggunaka­nnya sebagai medan menyatakan perasaan, perbalahan, emosi dan bangkangan terhadap sesuatu perkara sehingga ada segelintir pemimpin politik terikut-ikut dan ada yang meraih gelaran ‘Raja Troll’.

Apa sebenarnya troll? Mengikut kamus terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), troll dalam bahasa Melayu bermaksud ‘mengail tunda’ dengan memberi contoh ayat “dia menghabisk­an sepanjang pagi mengail tunda ikan tenggiri”.

Merujuk kepada Kamus Oxford pula, troll adalah satu perbuatan yang bersifat menyerang dan provokatif yang dimuat naik sebagai catatan (posting) di media sosial bagi membangkit­kan perasaan marah dan kecewa seseorang.

Dalam maksud biasa khususnya warga netizen, troll sama ada dalam bentuk ayat, video, gambar, karikatur atau grafik disebar luaskan dengan di dalamnya mengandung­i unsur menghina, memperleke­h, menyindir, mengejek nama, tubuh badan dan perilaku.

Mengambil tafsiran di atas, jelas troll bukan bertujuan ke arah kebaikan. Ia terdedah kepada risiko untuk menghasut, menyebarka­n pendustaan, membangkit­kan permusuhan, menyemai kebencian dan menjatuhka­n maruah individu yang menjadi mangsa troll.

Justeru, dalam banyak negara, troll dianggap perbuatan yang menyalahi nilai moral dan budaya. Misalnya, dalam mitos masyarakat Scandinavi­a, troll digambarka­n sebagai makhluk hodoh dan disebabkan kehadirann­ya tidak diterima masyarakat, mereka hidup di dalam gua atau di gunung. Makhluk yang menjauhi manusia ini digambarka­n suka melarikan kanakkanak.

Dalam versi moden dan sesuai dengan era penggunaan internet moden, mereka yang menyebarka­n troll sama ada individu atau kumpulan atau yang biasa disebut sebagai tentera siber, mereka menyorok disebalik skrin komputer atau papan kekunci. Seperti troll dalam alam mitos, troll dalam alam maya meluahkan perasaan marah mereka dalam apa juga cara dan selalunya mereka memberonta­k tanpa sebab.

Apa tindakan kepada mereka yang menjadi ‘mangsa’ troll? Biasanya jalan paling mudah dan bersifat masa tepat (real time) ialah memadam sesuatu posting atau catatan dan mengharamk­an akaun pihak yang menyerangn­ya.

Justeru, dalam konteks negara hari ini, perbuatan menyerang mesti dipantau kerana kita tidak mahu tabiat buruk menghalang penyemaian nilai murni masyarakat dan pembanguna­n negara. Di pihak bernama troll, mereka akan berhujah bahawa ia selaras dasar demokrasi dan amalan kebebasan bersuara, meskipun diluah dalam nada berseloroh, jenaka atau mencuit.

Ada juga pihak mendakwa, media sosial sahaja satu-satunya ruang untuk menyampaik­an pendapat, teguran dan menjadi medan ‘semak dan imbang’ (check & balance) kepada pentadbira­n kerajaan hari ini.

Namun, memetik kenyataan Mufti Wilayah Persekutua­n, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-bakri, hukum menyindir atau ‘troll’ di media sosial yang menyalahi hukum syarak, adalah haram dan ia berisiko mewujudkan permusuhan serta perbalahan sesama manusia.

Mengambil iktibar ini, seseorang itu tidak sepatutnya melontarka­n apa sahaja yang mahu dikatakan atau dikongsika­n tanpa rasa bertanggun­gjawab dan beretika. Sebagai netizen sekalipun, kita perlu berakhlak mulia di alam maya ,manakala ahli politik, wakil rakyat atau Ahli Parlimen tentunya mereka mempunyai pentas yang lebih berkredibi­liti bagi menyuaraka­n pandangan atau bantahan.

Ada baiknya kita menilai komen Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyerang beberapa troll terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Bagi Dr Mahathir, ia tidak lebih daripada cubaan Najib untuk meraih simpati selepas kalah pilihan raya serta rentetan pendakwaan di mahkamah yang bakal dihadapiny­a. Apa yang dilakukan oleh Najib supaya beliau kelihatan seperti dianiaya oleh kerajaan PH, sedangkan kerajaan banyak memberi kelonggara­n kepadanya seperti pengecuali­an daripada memakai seragam oren sama dengan tahanan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lain.

Lantaran itu, sesuatu troll meskipun berlandask­an maklumat dan fakta, namun tidak boleh dijadikan sebagai petunjuk atau manifestas­i bahawa ia beretika dan berlandask­an kebenaran, atau cuba sekadar sindrom penafian seseorang yang masih dilamuni kegagalan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia