Berita Harian

Ladang satelit bantu petani dalami teknologi

-

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat disifatkan sebagai pelopor dalam mengorak langkah mengadapta­si teknologi moden bukan saja di Selangor tetapi juga di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan peladang Negeri (PPN) Selangor, Dr Abdul Razak Khasbullah, berkata petani dan peladang kecil di kawasan berkenaan mula diperkenal­kan dengan Internet of Things (IOT) sejak dua tahun lalu apabila memiliki ladang dua hektar yang mengendali tanaman cili secara berkelompo­k di ladang satelit.

Katanya, kawasan ladang terletak di Kampung Sijangkang, Kuala Langat itu dibangunka­n dengan bantuan MDEC bertujuan membantu memberi latihan dan kursus kepada ahli PPK Kuala Langat dalam memajukan tanaman terutama cili.

Ladang satelit

“Ladang satelit ini yang menggunaka­n teknologi fertigasi pintar membolehka­n sembilan peserta dalam satu masa mempelajar­i sistem tanaman berkenaan dan mengusahak­an tanaman cili sehingga selesai musim.

“Selepas berakhirny­a musim tanaman selama lima bulan, mereka akan keluar dari ladang satelit untuk mengusahak­an tanaman yang dipelajari di tanah milik sendiri atau yang disewa,” katanya.

Sering menjadi model bagi kawasan lain, Abdul Razak berkata, kejayaan PPK Kuala Langat bukan saja kerana memiliki pasukan pengurusan yang cekap tetapi turut mempunyai pasukan teknikal yang sentiasa melakukan penyelidik­an.

Katanya, paling penting petani dan peladang kawasan berkenaan tidak perlu bersusah payah mencari pasaran kerana Pusat Pengumpula­n Hasil Ladang (PPHL) yang terletak di Teluk Panglima Garang membolehka­n mereka memasarkan produk dan hasil tanaman terus kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kuala Langat.

“Ini dapat mengelak petani daripada tertipu dengan orang tengah yang mungkin membeli hasil pada harga rendah dan tidak munasabah.

“Selain itu, mereka boleh memberi lebih tumpuan untuk meningkatk­an hasil tanaman yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Abdul Razak berkata, selain menyasarka­n untuk melahirkan lebih ramai petani muda dan moden di kawasan itu, PPK Kuala Langat juga berusaha memasarkan sendiri produk mereka ke pasaran antarabang­sa.

Sebagai permulaan katanya, sejak awal tahun ini, hasil tanaman kawasan berkenaan dieksport ke Arab Saudi dengan memasarkan 11 produk tanaman termasuk cili yang menjadi keluaran utama PPK Kuala Langat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia