Berita Harian

‘Ibu sebak anak tanya bapa ke mana’

Ayah budak enam tahun antara tiga maut kereta terbabas masuk longkang

- Oleh Muhammad Razis Ismail dan Hazira Ahmad Zaidi

Dalam kehibaan menangisi pemergian suaminya, Siti Nur Wahidah Ahmad Fazmi, terdiam seketika apabila anak sulungnya, Nur Qisya Afrina Mohd Zainal, yang berusia enam tahun bertanya bapanya ingin ke mana.

Ketika itu, suasana sibuk dengan urusan solat jenazah Mohd Zainal Zainuddin, 33, yang maut bersama adiknya, Mohd Zakaria, 22 dan rakan mereka, Muhammad Syadzaa Mohd Salleh, 23 dalam nahas di Jalan Rantau Panjang Pasir Mas, Lubok Jong di sini, awal pagi semalam.

Semua jenazah dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, pada jam 3 petang, semalam.

Seorang lagi mangsa yang parah, Mohd Shakirim Hafizi Mohammad Shamsudin, 22, dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Siti Nur Wahidah berkata, Nur Qisya Afrina ternyata tidak faham apabila melihat jenazah bapanya berada di masjid, untuk disembahya­ngkan.

“Saya berterus-terang menjawab bapanya sudah tiada (meninggal dunia) dan Nur Qisya Afrina tidak memberi sebarang maklum balas, mungkin kerana belum memahami apa yang berlaku.

Anak rapat dengan mangsa

“Nur Qisya Afrina rapat dengan bapanya. Sehari sebelum kejadian, suami saya keluar pada jam 11 malam, semata-mata mencari nasi air untuk Nur Qisya Afrina yang tidak sihat,” katanya ketika ditemui di Masjid Cabang Tiga di sini, semalam.

Ketika kejadian, Siti Nur Wahidah bersama dua anaknya berada di Tok Bali, Pasir Puteh, untuk menyertai program perkelahan.

“Kami tiba pada jam 6 petang semalam (kelmarin), sebelum arwah bersama adiknya dan dua rakan keluar semula jam 1 pagi untuk pulang ke Rantau Panjang, bagi mengambil barang rakan yang tertinggal.

“Saya hanya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas dihubungi rakan arwah pada jam 2.30 pagi. Sebaik tiba di hospital, baru saya tahu suami sudah tiada (meninggal dunia),” katanya.

Siti Nur Wahidah berkata, beberapa hari sebelum kejadian, arwah terbabit dalam kemalangan selepas keduadua tayar motosikaln­ya pancit namun, hanya mengalami kecederaan ringan.

Selepas itu katanya, suaminya dilihat banyak termenung namun menjawab risaukan motosikaln­ya yang rosak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner, Abdullah Mohammad Piah, berkata hasil siasatan awal mangsa dikatakan menaiki kereta Perodua Myvi dari Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Mohd Zainal hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan sebelum masuk ke longkang.

“Akibat kemalangan itu, tiga mangsa maut di tempat kejadian dan seorang parah,” katanya ketika dihubungi BH, semalam, sambil mengatakan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan.

 ??  ?? Keadaan kereta yang dinaiki empat mangsa, termasuk Mohd Zainal (kiri) selepas terbabit kemalangan di Jalan Rantau - Panjang Pasir Mas, Lubok Jong di Rantau Panjang, awal pagi semalam.
Keadaan kereta yang dinaiki empat mangsa, termasuk Mohd Zainal (kiri) selepas terbabit kemalangan di Jalan Rantau - Panjang Pasir Mas, Lubok Jong di Rantau Panjang, awal pagi semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia