Berita Harian

Gaji tinggi punca City tak beli de Jong

-

Manchester: Pep Guardiola mendedahka­n Manchester City terpaksa menarik diri daripada perlumbaan mendapatka­n bintang tengah Ajax, Frenkie de Jong kerana tidak mahu memecah struktur gaji yang boleh mencetuska­n kemarahan pemain lain.

De Jong akan menyertai Barcelona Julai depan dengan yuran perpindaha­n kira-kira £74 juta (RM402 juta) dan pemain muda Belanda itu ditawarkan gaji £300,000 (RM1.63 juta) seminggu.

Tawaran gaji sebegitu akan meletakkan pemain berusia 21 tahun itu sebagai pemain menerima bayaran tertinggi dalam struktur gaji City, namun Guardiola enggan ia berlaku apatah lagi de Jong baharu sahaja berada di permulaan kariernya.

“Kami mahu mengekalka­n suasana harmoni di bilik persalinan terutama dari segi struktur gaji pemain.

“Apabila anda berdepan situasi tidak seimbang dari segi struktur gaji, pastinya ia akan membawa bencana terhadap keharmonia­n bilik persalinan.

Pastikan gaji seimbang

“Apa yang bagusnya kami di City sentiasa memastikan ia terus kekal seimbang. Secara realitinya bukan satu atau dua pasukan membayar gaji yang banyak kepada pemain.

“Sebenarnya, banyak lagi pasukan lain. Sebelum ini hanya PSG dan Manchester City sering dikaitkan dengan spekulasi menawarkan gaji tinggi, tetapi ia sudah berakhir.

“Semua pasukan kini mampu menawarkan yuran perpindaha­n dan pendapatan lumayan dalam mendapatka­n pemain. Ia bukan sahaja di England tetapi juga di Itali, Sepanyol dan Perancis.

“Kadangkala kami tidak mampu bertarung dengan situasi itu. Kami perlu pantas dan tidak cepat menggelaba­h. Akhirnya kami mahu pemain yang ingin datang ke sini,” katanya kepada pemberita.

Meskipun mendapat sokongan hasil kekayaan dimiliki pemilik kelab iaitu keluarga diraja Abu Dhabi, Guardiola beberapa kali pernah mengadu berhubung kegagalan pasukannya untuk bertarung dengan kelab besar seperti Barcelona dan Real Madrid, namun beliau terus mempertaha­nkan prinsip City.

“Sudah banyak kali saya menyatakan sukar untuk kami bertarung dengan Barcelona dan Real,” katanya.

Malah ketika dua jendela perpindaha­n terakhir menyaksika­n City hanya berjaya menyambar seorang pemain berkualiti iaitu Aymeric Laporte dari Athletic Bilbao dengan harga £57 juta (RM310 juta) 12 bulan lalu, diikuti Riyad Mahrez £60 juta (RM326 juta) pada musim panas lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia