Berita Harian

Arsenal ditimpa malang berganda

-

London: Arsenal berdepan krisis kecederaan selepas kapten, Laurent Koscielny dikhuatiri retak tulang rahang, manakala Sokratis dipalit masalah buku lali ketika tewas kepada Manchester United, kelmarin.

Kekalahan 1-3 pada pusingan keempat Piala FA Inggeris itu menyaksika­n The Gunners hanya mempunyai seorang pertahanan tengah yang cergas sepenuhnya.

Skuad kendalian Unai Emery sudah bergelut di posisi belakang sebelum perlawanan apabila kecederaan lutut serius memaksa dua pertahanan­nya, Rob Holding dan Hector Bellerin berehat hingga hujung musim ini.

Ketika ditanya mengenai situasi itu, Emery berkata: “Saya fikir ia bukan masalah yang besar untuk Sokratis, ia berkaitan buku lali dan Laurent Koscielny akan pergi ke hospital untuk menjalani ujian.

“Mungkin ada sesuatu yang patah. Saya harap ia tidak, tetapi kami perlu menunggu,” kata Emery sambil menunjuk rahangnya.

Masalah kecederaan

Emery juga mendakwa masalah kecederaan itu menyumbang kekalahan di tangan United yang kini sudah menang lapan perlawanan berturuttu­rut di bawah kendalian jurulatih sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Pada aksi di Stadium Emirates itu, pelawat memperoleh kelebihan dua gol berpunca daripada bekas pemain Arsenal, Alexis Sanchez dan Jesse Lingard sebelum Pierre-emerick Aubameyang merapatkan jurang sebelum rehat.

“Pada kedudukan 1-2 saya fikir kami masih boleh berjuang dengan kemungkina­n untuk seri atau meraih kemenangan.

“Tetapi saya fikir disebabkan oleh kecederaan ini, terutama sekali kecederaan kedua buat Koscielny, ia tidak membantu kami. Dua kecederaan mengubah begitu banyak kemungkina­n,” kata Emery.

Pemain gantian United, Anthony Martial melengkapk­an gol kemenangan lewat perlawanan menerusi serangan balas pantas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia