Berita Harian

Lapan bulan tak dibayar

Pemain Hanelang FC dakwa terpaksa ikat perut kerja baiki paip, tukang rumah tampung hidup

- Oleh Malik Muhamad

Belumpun reda isu tunggakan gaji pemain Terengganu City FC (TCFC), kini sebuah lagi pasukan beraksi dalam Liga FAM musim lalu iaitu Hanelang FC tampil menuntut hak mereka juga berkaitan tunggakan gaji.

Jika pemain TCFC terpaksa 'mengikat perut' empat bulan susulan tidak dibayar gaji mulai Julai hingga Oktober 2018, pemain Hanelang FC melalui kehidupan lebih perit selepas tidak mendapat gaji selama lapan bulan mulai Mac hingga Oktober 2018.

Malah pemain Hanelang FC yang didaftarka­n di bawah Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu juga hanya mendapat 'habuan' janji palsu daripada pihak majikan berkaitan isu tunggakan gaji biarpun aduan sudah dibuat kepada FAM (Persatua Bolasepak Malaysia) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesiona­l Malaysia (PFAM).

Terkilan dan rasa tertipu dengan pengurusan skuad membuatkan pemain pasukan itu tampil menghubung­i Sukan NSTP untuk meluahkan isi hati.

“Kesabaran kami kini sudah mencapai tahap kemuncak selepas sekian lama menunggu bagaikan buah tidak gugur berikutan kedegilan pihak pengurusan membayar gaji.

Bukan berniat memalukan sesiapa

“Kami tampil menghubung­i Sukan NSTP bukan berniat memalukan sesiapa tapi hanya ingin meluahkan keadaan sebenar menimpa kami selain menuntut pihak pengurusan membayar tunggakan gaji yang sudah berlarutan hampir setahun iaitu sejak Mac tahun lalu,” kata pertahanan kiri skuad itu, Mohd Faizal Mansor yang mewakili 19 lagi rakan sepasukan.

Selain Faizal yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT), DRB -Hicom, Sime Darby dan Perak, pemain lain yang turut membarisi skuad Hanelang FC itu adalah bekas kapten Terengganu, Zairo Anuar Zailani, Tuah Iskandar, Hasmizan Kamarodin, Haris Safwan Kamal, Azlan Zainal dan bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Syamsuri Mustaffa.

Mengulas lanjut, Faizal berkata, sepanjang lapan bulan tidak dibayar gaji kehidupann­ya begitu perit kerana terpaksa mengikat perut selain meraih simpati rakan dan ahli keluarga untuk meneruskan hidup.

“Kehidupan begitu perit, kadang kala air mata mengalir mengenangk­an ketika itu isteri saya sakit dan sudah pasti perlu menjalani rawatan susulan secara kerap. Saya juga terpaksa membayar sewa rumah selain perbelanja­an harian dan sebagainya.

“Keperitan kami siapa yang tahu? Malah kadang kala saya terpaksa bekerja sebagai tukang rumah, baiki paip, tolong rakan demi kelangsung­an hidup.

“Sekarang saya sekeluarga masih mampu membayar sewa rumah, tapi tidak mustahil saya akan dihalau keluar rumah suatu hari nanti jika pihak pengurusan terus membisu.

“Justeru kami merayu majikan membayar tunggakan gaji kami seberapa segera kerana kami sudah lama mengadu kepada FAM sejak November lalu dan badan induk bola sepak negara itu sudahpun mengeluark­an arahan kepada majikan untuk melunaskan tunggakan gaji namun sampai sekarang ‘habuk’ pun tiada,” kata Faizal kecewa.

Sementara itu, Pengurus Hanelang FC, Mohd Jibril Mat Ali tidak dapat dihubungi bagi mendapat penjelasan lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia