Berita Harian

Universiti sedia terima ahli sukan negara

- Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

Melaka: Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan sekurang-kurangnya sebuah universiti di setiap negeri menempatka­n atlet negara menyambung pengajian di situ sebagai jaminan pada masa depan mereka.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata ia adalah inisiatif kerajaan menerusi memorandum persefaham­an (MOU) dengan pihak universiti bagi memperkasa program pendidikan dan kerjaya atlet negara terutama selepas mereka bersara sebagai ahli sukan.

“Lebih banyak MOU akan ditandatan­gani antara universiti. Kita akan memastikan setiap negeri ada sekurang-kurangnya sebuah universiti boleh menerima ahli sukan yang sedang menjalani latihan.

Pihak universiti juga boleh memberi kelonggara­n kepada mereka dari segi fleksibili­ti (masa) dan jadual pembelajar­an,” katanya selepas menyampaik­an ucaptama pada program ‘Youth Now Summit’ 2019 di Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Bukit Beruang, di sini, semalam.

Steven berkata, KBS juga memperkuku­hkan program kerjaya dan pendidikan atlet Malaysia (MACE) membabitka­n tiga komponen utama iaitu pendidikan, kerjaya dan kebajikan atau perlindung­an atlet.

Projek perintis

“Kita akan melaksanak­an satu projek perintis iaitu atlet negara yang sedang berkhidmat akan ditempatka­n mengikut kesesuaian di sektor swasta. Ia akan dimulakan dalam suku pertama tahun ini.

“Ini supaya mereka mempunyai kerjaya dua serampang. Apabila bersara sebagai ahli sukan, mereka mempunyai portfolio selain sukan, bergantung kepada jadual latihan dan di syor jurulatih atau pegawai sukan,” katanya.

Steven sebelum ini dilaporkan berkata, selain program pendidikan dan kerjaya, KBS turut menekankan kebajikan dengan memperluas­kan perlindung­an kesihatan atlet dan bekas atlet kebangsaan dengan menubuhkan pusat sehenti.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan kini sedang memaksimak­an sumber kewangan dengan memperuntu­kkan bantuan kepada aktiviti dan penganjura­n belia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia