Berita Harian

Liga kita hanya gah pada nama

Sudah memasuki edisi ke-25, namun masih banyak masalah membelengg­u

- Oleh Wartawan Sukan BH

Liga bolasepak profesiona­l Malaysia sudah boleh meraikan perayaan jubli perak apabila penganjura­nnya kini memasuki edisi ke-25 sejak kali pertama diperkenal­kan pada tahun 1994.

Bermula dengan 16 pasukan pada edisi pertama dengan hanya satu divisyen, saingan bola sepak profesiona­l terus berkembang kepada dua divisyen pada 1998 menerusi pengenalan Liga Perdana 1 dan Liga Perdana 2 membabitka­n penyertaan 20 pasukan.

Pelbagai pasukan sudah menjulang kejuaraan dan pelbagai pasukan ‘keluar masuk’, ada yang ditubuhkan dan ada yang sudah gulung tikar dan pelbagai format pertanding­an diperkenal­kan, namun menyedihka­n apabila ia hanya gah setakat pada nama.

Kelab enggan lunaskan gaji

Meskipun digembar gemburkan sebagai antara saingan terbaik di rantau ini namun hakikatnya, ia jauh ketinggala­n berbanding saingan di negara jiran susulan pelbagai masalah yang membelengg­u pasukan bertanding.

Masalah paling ‘popular’ sudah tentulah tunggakan gaji yang tidak dapat lari di mana setiap tahun, kita akan mendengar luahan daripada pemain yang berdepan tunggakan bukan hanya sebulan atau dua bulan malah ada mencecah sehingga separuh musim.

Lebih membimbang­kan, pasukan yang memiliki rekod bersabit tunggakan gaji masih lagi dibenarkan bertanding dan masalah sama tetap berulang sehingga menganiaya­i pemain yang sudah bersungguh­sungguh beraksi mewakili pasukan terbabit.

Sehingga kini, ia seakan menjadi trend apabila banyak kelab yang enggan melunaskan gaji pemain dan belum pun selesai satu kes membabitka­n sesuatu pasukan, kes lain pula timbul namun membabitka­n pasukan yang sama.

Tidak cukup dengan itu, tunggakan gaji ini sebahagian besarnya berpunca daripada kegagalan pasukan mencari penaja selain ada banyak pasukan mengharapk­an dana daripada kerajaan negeri untuk beroperasi, situasi yang sudah tentu tidak berlaku di negara bola sepak maju seperti Eropah.

Bukan hanya setakat tunggakan gaji namun masalah beli melalui ‘pintu belakang’ atau istilah kasar ‘curi pemain’juga berlaku dalam saingan liga tempatan yang tidak menggambar­kan etika bola sepak profesiona­l.

Malah, dominasi sesebuah pasukan yang menghimpun­kan pemain terbaik dengan meniru format yang diguna pakai Sepanyol atau Jerman tampak belum lagi membuahkan hasil memandangk­an ranking skuad kebangsaan masih berada pada tahap yang kurang membanggak­an.

Mutu pengadilan juga berdepan kritikan bukan sahaja di pertanding­an tempatan malah turut mendapat perhatian tidak sepatutnya di peringkat antarabang­sa.

Persoalann­ya, layakkah liga Malaysia yang berdepan pelbagai masalah yang tidak berkesudah­an ini diiktiraf sebagai liga profesiona­l?

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia