Berita Harian

Jamilah terharu jalan siap

Hasil perjuangan Adenan ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak

- Oleh Mohd Roji Kawi

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Puan Sri Jamilah Anu terharu selepas melihat Projek Lebuhraya Pan Borneo menghubung­kan Teluk Melano ke Sematan terlaksana dan dibuka secara rasminya kepada umum bermula semalam.

Jajaran sepanjang sepanjang 33 kilometer itu antara yang diperjuang­kan suaminya, Allahyarha­m Tan Sri Adenan Satem, ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak sejak 2014, malah ia satu-satunya jajaran dibina baharu bagi projek lebuh raya berkenaan.

Jamilah berkata, beliau sebak kerana arwah tidak sempat melihat jajaran diimpikann­ya itu siap dibina apabila meninggal dunia pada 11 Januari 2017.

“Sedih pun ada. Saya juga terharu kerana usahanya (Tan Sri Adenan Satem) itu, penduduk di sini (Teluk Melano) kini menikmati kemudahan jalan raya untuk ke Sematan seterusnya memandu ke tempat lain di negeri ini,” katanya.

Jamilah berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau titik permulaan projek itu di Kilometer O Lebuh Raya Pan Borneo di Teluk Melano, di sini bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Pembanguna­n rancak

Beliau berkata, dengan adanya jalan raya berkenaan, pembanguna­n di kawasan penempatan penduduk yang terakhir di sebelah barat daya Sarawak itu dijangka bertambah rancak.

“Itulah yang dihasratka­n oleh arwah dahulu. Beliau mahu jalan raya ini dibina supaya penduduk di sini mengecapi hidup yang lebih baik,” katanya.

Selain lebih 200 penduduk Kampung Teluk Melano, jalan raya berkenaan juga memberi manfaat kepada lebih 100 penduduk sebuah lagi kampung berhampira­n itu Kampung Teluk Serabang.

Terdahulu, Majlis Perasmian Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Teluk Melano-sematan disempurna­kan bersama oleh Abang Johari dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Ketika berucap dalam perasmiann­ya, Abang Johari, berkata Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak dianggap sebagai simbol perpaduan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

“Projek ini diluluskan oleh Kerajaan Persekutua­n terdahulu dengan Datuk Seri Fadillah Yusof bertanggun­gjawab memulakann­ya, walaupun sekarang pentadbira­n Persekutua­n sudah bertukar namun anak Sarawak terus menerajui Kementeria­n Kerja Raya.

“Baru Bian yang diberi amanah meneruskan kerja yang dimulakan oleh Fadillah itu kini bertanggun­gjawab menyiapkan projek ini. Parti kita berbeza tidak apa, kita akan bekerjasam­a asalkan kepentinga­n rakyat Sarawak menjadi keutamaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia